Nahas FRU: Jenazah mangsa selamat dikebumikan

IPOH – Jenazah Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, antara sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas jalan raya di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik berhampiran Sungai Lampam, Teluk Intan pada Selasa, selamat dikebumikan.
Jenazah anggota berusia 33 tahun itu tiba di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang, Fair Park, dan upacara pengebumian dijalankan mengikut Istiadat Pengebumian Kepahlawanan sekitar jam 4.50 pagi, Rabu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin kemudian menyerahkan Jalur Gemilang kepada ibu Allahyarham, Suriati Omar, 53, sebagai simbol penghargaan atas pengorbanannya ketika berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan apabila lebih 100 pegawai dan anggota serta ahli keluarga hadir memberikan penghormatan terakhir.

Talkin dibacakan oleh Imam Masjid Kampung Kepayang, Jamaludin Mohd Amin, manakala tahlil dan doa disempurnakan oleh Azrul Zaimee Mohamad Ali dari Bahagian Agama dan Kaunseling, Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard FRU.
Dalam insiden yang membabitkan sebuah trak FRU dan lori bermuatan batu itu, sembilan anggota pasukan terkorban.
Kesemua anggota lelaki berusia antara 28 hingga 46 tahun itu dalam perjalanan pulang selepas selesai penugasan Op Chariot sempena perayaan Chitrapournami di Hilir Perak.
Kenderaan FRU Unit 5 Sungai Senam tersebut telah dirempuh sebuah lori bermuatan batu kerikil akibat kegagalan fungsi stereng.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!