Kenderaan berat jadi 'perangkap maut'

Keadaan lori Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan lori yang terbabit kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam pada Selasa
Keadaan lori Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan lori yang terbabit kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam pada Selasa
A
A
A

KEMALANGAN jalan raya yang membabitkan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak pada pagi Selasa lalu menambah kepada jumlah kes melibatkan kenderaan berat.

Difahamkan, kenderaan pasukan itu telah dirempuh dari hadapan oleh sebuah lori pasir yang dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng.

Tragedi sebegini bukan sahaja mencetuskan kebimbangan awam mengenai keselamatan jalan raya dan keupayaan pengendalian, tetapi juga soal kenderaan berat yang tidak diselenggara dengan baik namun masih bebas beroperasi.

Bagaimana kenderaan berat dengan masalah teknikal yang serius boleh berada di atas jalan raya? Kegagalan fungsi stereng bukanlah isu kecil; ia adalah satu kecacatan kritikal yang seharusnya dikesan dan dibaiki sebelum kenderaan dibenarkan beroperasi.

Oleh itu, tidak mustahil masih wujud kelonggaran dalam sistem penyelenggaraan dan pemeriksaan kenderaan berat di negara ini. Pemeriksaan berkala oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sememangnya diwajibkan tetapi realitinya ramai pengusaha kenderaan berat mengelak penyelenggaraan yang menyeluruh kerana faktor kos.

Tambahan pula, mungkin berlaku ketidakpatuhan yang menyebabkan ada kenderaan yang hanya ‘cukup syarat atas kertas’, tetapi tidak selamat untuk berada di jalan raya. Isu ini menjadi lebih genting apabila membabitkan kenderaan berat yang membawa muatan besar atau beroperasi pada waktu malam di jalan dua hala tanpa pencahayaan yang mencukupi.

Sebarang kegagalan teknikal bukan sahaja membahayakan pemandu sendiri tetapi juga pengguna jalan raya yang lain. Menurut rekod, hampir setiap hari kemalangan yang membabitkan kenderaan berat dilaporkan di media tempatan, sama ada melibatkan pengangkutan anggota keselamatan, kereta, motosikal mahupun haiwan liar.

Setiap insiden yang berlaku bukan sahaja perlu disiasat tetapi juga dijadikan asas kepada pembaharuan dasar. Ini termasuk keperluan mengkaji semula sistem penyelenggaraan wajib, pelaksanaan pemeriksaan mengejut di lokasi strategik serta hukuman yang lebih berat kepada pengusaha yang cuai.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!