Selamatkah kedudukan Amirudin di Selangor?

Sidang DUN Selangor. Gambar kecil: Amirudin
Sidang DUN Selangor. Gambar kecil: Amirudin
A
A
A

TANGGAL 1 Mac lalu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Istiadat mengangkat sumpah itu sekali gus menamatkan kemelut politik yang melanda negara selama seminggu sebelum itu.

Susulan peralihan kuasa di peringkat kerajaan Persekutuan, beberapa negeri dikuasai Pakatan Harapan (PH) turut menerima tempias rentetan perubahan landskap politik negara.

Bagaimanapun, situasi di Selangor dilihat tidak akan terjejas, malah masih utuh sebagai kubu kuat PH sejak tahun 2008 lagi.

Walaupun beberapa negeri seperti Melaka, Perak dan Kedah masih bergelut dengan kemelut politik masing-masing, namun kerajaan PH Selangor terus tenang menghadapi situasi yang berlaku itu.

Menerusi sidang akhbar oleh PH Selangor kelmarin, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan bahawa Bersatu bukan lagi sebahagian daripada komponen gabungan PH di negeri itu dan kesemua jawatan pimpinan yang melibatkan Bersatu akan dilucutkan secara berperingkat.

Peruntukan kewangan kepada lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu dan dua wakil Bebas turut dibekukan susulan perkembangan itu.

Seperti semua sedia maklum, kerusi Bebas diwakili oleh ADUN Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan ADUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham selepas mereka tidak lagi bersama PKR.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan jumlah kerusi terkini di Selangor, PH sememangnya berada dalam kedudukan amat selamat memandangkan Barisan Nasional (BN) hanya mempunyai lima kerusi, Pas satu kerusi manakala Bebas dua kerusi daripada keseluruhan ADUN Selangor sebanyak 56 kerusi.

Budak Azmin

Mengikut pengiraan kerusi, sudah semestinya agak mustahil untuk berlaku perubahan kuasa di peringkat kerajaan negeri.

Namun, PH di Selangor tidak boleh mendabik dada dan berasa selesa dengan perkembangan itu. Jika diimbas kembali perjalanan politik Amirudin, beliau sebelum ini lebih dilihat sebagai 'budak Azmin’ dan menjadi penyokong kuat kepada bekas Timbalan Presiden PKR itu.

Dengan berlakunya krisis dalaman PKR yang didakwa berpunca daripada Mohamed Azmin sebelum ini, adakah kedudukan Amirudin sebagai Menteri Besar masih kebal?

Berkemungkinan tidak akan berlaku proses undi tidak percaya ADUN pada sesi persidangan tidak lama lagi, namun Pengerusi PH Selangor itu mungkin berdepan tekanan seperti mana yang dihadapi oleh bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sebelum ini, Amirudin menyatakan bahawa beliau menghormati bekas 'bosnya’ itu sebagai pemimpin namun aspek tanggungjawab perlu lebih jelas dan diutamakan.

“Dalam keadaan begini, saya tunjukkan untuk kekal dalam parti walaupun beliau memilih untuk keluar. Kalau saya bertindak ikut individu, saya dah boleh sabotaj, namun aspek tanggungjawab kena jelas. Ada batas tertentu dalam hubungan keluarga, kawan dan kenalan,” katanya.

Bagaimanapun, cakap-cakap mendedahkan bahawa ada di antara ADUN secara diam tidak berpuas hati dengan tindakan Amirudin yang lebih cenderung menyokong Mohamed Azmin berbanding Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berpendapat, kepimpinan tertinggi PKR perlu segera membuat keputusan tegas sama ada mahu mengekalkan Amirudin sebagai Menteri Besar atau sebaliknya.

Menurutnya, tindakan untuk mengekalkan Amirudin yang sebelum ini dikatakan sebagai orang kanan Mohamed Azmin dibimbangi menjadi 'duri dalam daging’ buat PKR.

“Langkah proaktif perlu diambil segera oleh PKR menerusi rombakan Exco dan Menteri Besar untuk pastikan negeri Selangor terus kekal menjadi kubu kuat PH,” katanya.

Katanya lagi, langkah mengekalkan Amirudin akan mengundang kebimbangan dalam kalangan akar umbi parti itu.

Dalam pada itu, penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed pula mempunyai pandangan berbeza mengenai perkembangan yang dijangka berlaku di Selangor.

Marthada berkata, kedudukan Amirudin dijangka tidak tergugat memandangkan beliau masih setia bersama PKR yang mendominasi pembentukan kerajaan di DUN Selangor.

“Walaupun beliau antara penyokong Azmin sebelum ini, namun memilih untuk mengutamakan parti. Saya kira antara yang menjadi pertimbangan pimpinan tertinggi PKR adalah untuk mengutamakan kestabilan pentadbiran kerajaan negeri kerana Selangor kubu mereka.

“Disebabkan itu saya rasakan Amirudin perlu dikekalkan bagi memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Sekiranya benar Amirudin sudah hilang kepercayaan daripada ADUN di Selangor, siapakah figura yang dilihat layak bagi menggantikan beliau untuk mentadbir negeri itu?

Pastinya pimpinan PKR perlu membuat pilihan terbaik sekiranya mereka ingin menggantikan Amirudin dengan calon lain bagi memastikan kestabilan negeri dapat diteruskan selepas ini.

Calon yang bakal diketengahkan itu juga seharusnya mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah.

Walau apa pun berlaku selepas ini, Amirudin perlu terus bergerak ke hadapan dan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaiknya kepada rakyat Selangor.

Di samping itu, beliau juga perlu membuktikan kesetiaan tidak berbelah bagi kepada Anwar selepas ini bagi meraih semula kepercayaan daripada ahli dan pimpinan parti.