[VIDEO] Nahas FRU: Hajat Ahmad Wafi bertemu keluarga tak kesampaian
KULIM – Hasrat seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk pulang bertemu keluarga di Lunas, Kedah tidak kesampaian apabila dia antara sembilan anggota yang maut dalam nahas membabitkan kenderaan FRU dan lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan pagi Selasa.
Mangsa, Konstabel Ahmad Wafi Annuar, 28, anggota FRU Unit 5, disahkan terkorban dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 8.50 pagi itu.
Bapa mangsa, Annuar Yusof, 55, berkata, anak sulung daripada lima beradik itu telah menyatakan niat untuk pulang ke rumah menerusi panggilan video bersama keluarga, tiga hari sebelum kejadian.
“Dia minta adik perempuannya, Nor Wardina yang tinggal di Shah Alam singgah di Ipoh supaya dapat tumpang balik sama-sama ke Kulim,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, kali terakhir mereka sekeluarga bertemu Ahmad Wafi adalah dua minggu lalu, namun tiada sebarang tanda perubahan ditunjukkan anaknya yang ceria dan suka berkongsi rutin kerja melalui media sosial.

Annuar hanya menyedari kejadian setelah melihat gambar dan video kemalangan tular ketika bersarapan pada pagi kejadian.
“Saya cuba hubungi telefon Wafi berkali-kali tapi tidak dijawab. Perasaan mula tak sedap, lalu saya hubungi tempat kerja dia dan akhirnya dimaklumkan tentang nahas itu,” jelasnya sebak.
Jenazah Ahmad Wafi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sungai Limau, Lunas selepas selesai proses bedah siasat.
Sebelum ini, media melaporkan, sekurang-kurangnya sembilan anggota FRU maut dalam nahas melibatkan sebuah kenderaan milik pasukan itu bertembung dengan lori muatan batu di Jalan Chikus -Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak pada Selasa.
Berdasarkan maklumat, terdapat juga anggota FRU yang cedera parah akibat kemalangan terbabit.
Difahamkan, kenderaan FRU terbabit dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai melaksanakan tugas bawah Op Chariot di Teluk Intan, Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!