Nahas FRU: Anak istimewa kehilangan tempat mengadu kasih

Bakri Zainal Abidin menenangkan waris dan kenalan mangsa yang mula berkumpul di pekarangan Unit Forensik Hospital Teluk Intan ekoran kejadian kemalangan yang membabitkan lori pasukan FRU dengan lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam hari ini. - Foto: Bernama
Bakri Zainal Abidin menenangkan waris dan kenalan mangsa yang mula berkumpul di pekarangan Unit Forensik Hospital Teluk Intan ekoran kejadian kemalangan yang membabitkan lori pasukan FRU dengan lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

TELUK INTAN - Kemalangan jalan raya yang meragut nyawa Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim di Jalan Chikus-Sungai Lampam di sini pagi tadi, bukan sahaja satu kehilangan besar kepada pasukannya, malah turut memadamkan sinar kebahagiaan tiga anaknya, khususnya anak sulungnya yang menghidap sindrom Down.

Kakak ipar Allahyarham yang enggan dikenali berkata, Mohd Roslan merupakan seorang bapa penyayang dan sangat rapat dengan anak sulungnya, Muhd Raqin Najmi, 13, selain dua lagi anak masing-masing berusia sembilan dan enam tahun.

"Muhd Raqin sangat manja dan rapat dengan arwah. Biasanya, arwah akan tidur bersama anak-anak dan sentiasa meluangkan masa bermain dengan mereka.

"Saya tidak dapat bayangkan penerimaan Muhd Raqin apabila dia menyedari ayahnya sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan.

Muhd Raqin yang hadir bersama ibunya di jabatan itu kelihatan terpinga-pinga melihat kehadiran begitu ramai orang di situ yang terdiri daripada waris serta rakan-rakan sekerja bapanya dan anak istimewa itu mungkin masih belum menyedari bahawa dia telah kehilangan seorang daripada insan yang amat disayanginya.

Mohd Roslan merupakan salah seorang daripada sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang disahkan meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan trak FRU dinaiki 18 anggota termasuk pemandu dan sebuah lori membawa muatan batu.

Sementara itu, Sahal Zabri, 35, adik kepada seorang lagi mangsa yang terkorban, Koperal Amiruddin Zabri, 38, berkata, keluarganya masih terkejut dengan berita kematian abangnya yang sebelum ini bertugas sebagai anggota polis biasa sebelum menyertai FRU.

" Sebelum kejadian, Allahyarham tidak menunjukkan sebarang tanda atau kelakuan pelik, jadi berita kematiannya amat mengejut ahli keluarga,” katanya yang turut memaklumkan jenazah abangnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Itek, Gopeng.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Dr Bakri Zainal Abidin mengesahkan sembilan anggota FRU dari Unit 5 Ipoh maut dalam nahas di Jalan Chikus-Sungai Lampam ketika dalam perjalanan pulang selepas bertugas sempena sambutan Hari Wesak di sini.

Kesemua mayat dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk proses bedah siasat.

Pagi tadi Ketua Polis Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin mengesahkan sembilan anggota FRU dari Unit 5 Ipoh maut dalam nahas di Jalan Chikus-Sungai Lampam, semasa konvoi pasukan itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai penugasan perayaan Chitrapournami di sini.

Semua mayat terlibat dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!