PSM gesa penjelasan polis, DBKL halang program bacaan di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR - Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa pihak berkuasa memberikan penjelasan berhubung tindakan menghalang sekumpulan anak muda daripada mengadakan sesi bacaan awam di Dataran Merdeka pada Sabtu lalu.
Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, N Gandipan berkata, tindakan pihak polis yang meminta surat pemakluman bagi aktiviti membaca dan berbincang adalah tidak berasas dari segi undang-undang serta bertentangan dengan hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, rakyat mempunyai hak untuk berhimpun, berdiskusi dan menjalankan aktiviti intelektual tanpa memerlukan permit, terutama di ruang awam.
“Federasi Pemuda Kebangsaan (NYF) berkongsi bahawa pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan anak muda ini untuk menamatkan program dan bersurai pada jam 10 malam.
“PSM ingin menegaskan bahawa kehadiran anggota polis dan pegawai DBKL untuk menghentikan dan memantau program ini adalah satu bentuk intimidasi terhadap anak muda.
“Pihak polis dan DBKL harus memberikan penjelasan berkenaan kuasa undang-undang yang mewajibkan permit untuk membaca buku, serta rasional di sebalik tindakan mengarahkan mereka bersurai. Pihak berkuasa juga perlu berhenti daripada mengganggu aktiviti intelektual di ruang awam pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Gandipan mendakwa tindakan pihak berkuasa tersebut bercanggah dengan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada golongan muda semasa perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023.
“Beliau menyatakan bahawa jika ingin menjadi insan berakhlak dan berilmu, perlu mulakan tradisi membaca secara serius.
“Ironinya, kenyataan sebegitu hanya menjadi hiasan retorik apabila anak-anak muda yang menyahut seruan tersebut diawasi dan dihalang oleh pihak berkuasa,” ujarnya.
Tambah beliau, PSM menyatakan solidariti bersama anak muda yang berdepan intimidasi, dan menyeru rakyat Malaysia agar terus menggunakan ruang awam bagi aktiviti bacaan, diskusi dan protes secara aman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!