Nahas FRU: Waris mangsa terima sumbangan sehingga RM269,000

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay melawat waris mangsa kemalangan membabitkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan pada Selasa. Foto Bernama
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay melawat waris mangsa kemalangan membabitkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

TELUK INTAN - Waris kepada anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang menjadi mangsa tragedi kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam di sini yang berlaku pagi Selasa menerima sumbangan kebajikan sehingga RM269,000.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sumbangan kebajikan tersebut bergantung kepada jenis insiden dan bentuk caruman yang dibuat.

Menurutnya, sumbangan itu diperoleh melalui lima sumber utama termasuk Tabung Kebajikan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara, Skim Ex Gratia, sumbangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak serta caruman Koperasi PDRM.

Sebahagian barang-barang peribadi milik mangsa untuk diserahkan kepada waris di IPD Hilir Perak.
Sebahagian barang-barang peribadi milik mangsa untuk diserahkan kepada waris di IPD Hilir Perak.

“Melalui Tabung Kebajikan, setiap waris anggota yang terkorban dalam bencana kerja akan menerima sumbangan sekitar RM1,200.

"Tabung Amanah pula memperuntukkan RM25,000 bagi kes kematian, RM8,000 hingga RM11,000 bagi kes hilang upaya kekal dan RM1,000 untuk kecederaan ringan, tertakluk kepada penilaian pakar perubatan.

"Secara keseluruhan, waris mangsa sama ada yang meninggal dunia mahupun cedera boleh menerima sumbangan antara RM58,000 hingga RM269,000,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di sini, pada Selasa.

Ayob Khan berkata, bagi Skim Ex Gratia pula menawarkan pampasan pukal sebanyak RM20,000 bagi kematian selain bayaran bulanan kepada waris yang layak termasuk dalam kes hilang upaya melebihi 21 peratus atau kurang daripada itu.

“IPK Perak turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM11,000 bagi setiap anggota yang terlibat sebagai satu inisiatif kebajikan di peringkat negeri.

Artikel Berkaitan:

“Manakala bagi yang mencarum dalam Koperasi PDRM, mereka layak menerima bantuan khairat kematian RM1,500 serta pampasan insurans antara RM36,000 hingga RM211,000 bergantung kepada jumlah caruman,” katanya.

Tambah Ayob Khan, sumbangan yang diberikan itu mencerminkan komitmen PDRM dan kerajaan dalam menjaga kebajikan pegawai serta anggota yang terkorban atau cedera ketika bertugas.

Sementara itu, beliau beri jaminan menjalankan siasatan menyeluruh termasuk dakwaan bahawa pemandu lori batu terbabit cuba mengelak kenderaan lain sebelum pertembungan berlaku.

"Kita akan menyiasat segala aspek dan sudut. Mana-mana kenyataan dan yang diviralkan itu, kita akan lakukan siasatan selengkap-lengkapnya," katanya.

Terdahulu, sembilan anggota FRU Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh dilaporkan terbunuh dalam nahas membabitkan lori muatan pasir di Jalan Chikus-Sungai Lampam, di sini.

Waris mangsa mengambil barang-barang peribadi milik mangsa di IPD Hilir Perak di sini pada Selasa.
Waris mangsa mengambil barang-barang peribadi milik mangsa di IPD Hilir Perak di sini pada Selasa.

Mereka adalah Sarjan S Perumal, Koperal Nurit Pandak, Koperal Amiruddin Zabri, Koperal Mohd Pozli Jaudin, Koperal Akmal Muhamad, Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif dan Konstabel Akmal Wafi Annuar.

Kenderaan membawa 18 anggota FRU itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas penugasan perayaan Chitrapournami di Teluk Intan.

Jenazah akan dikebumikan di kampung halaman masing-masing iaitu di Masjid Tuanku Abdul Rahman Putra, Kulim; Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang dan Tanah Perkuburan Islam Meru Raya di Ipoh serta Kampung Sungai Itik dekat Gopeng.

Tiga lagi akan dikebumikan di Kampung Pantai Besar dekat Batu Kurau; Masjid Simpang, Taiping dan Kampung Parit Teluk Pial, Kuala Kurau.

Sementara itu, jasad mendiang Sarjan S Perumal akan dibawa ke Krematorium Buntong manakala Koperal Nurit Pandak dibawa ke Kampung Orang Asli Bukit Terang, Kampar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!