Nahas FRU: KDN jamin siasatan terperinci, kebajikan ahli keluarga mangsa

Waris dan kenalan mangsa mula berkumpul di pekarangan Unit Forensik Hospital Teluk Intan ekoran kejadian kemalangan yang membabitkan lori pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dengan lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam hari ini. Foto Bernama
Waris dan kenalan mangsa mula berkumpul di pekarangan Unit Forensik Hospital Teluk Intan ekoran kejadian kemalangan yang membabitkan lori pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dengan lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menguruskan segala berkaitan insiden kemalangan tragis membabitkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dengan segera dan menyeluruh.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia termasuk siasatan terperinci oleh pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Pada masa sama, beliau berkata, KDN turut memberi jaminan bahawa kebajikan keluarga dan anggota yang terlibat akan dijaga dengan sewajarnya.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

“Saya bagi pihak KDN dan seluruh warga kementerian ingin menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga kesemua anggota yang terlibat dalam tragedi ini, khususnya kepada waris sembilan anggota yang telah terkorban.

“Kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata adalah satu dugaan yang sangat berat dan saya mendoakan agar semua ahli keluarga yang terlibat diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi detik yang amat mencabar ini.

“Anggota-anggota FRU ini telah menunaikan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi dan keberanian demi menjaga keselamatan serta ketenteraman awam negara.

"Pengorbanan mereka adalah satu kehilangan besar buat negara dan akan sentiasa dikenang sebagai contoh keberanian dan jasa yang tidak ternilai,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Kemalangan jalan raya berlaku pada pagi Selasa di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Perak melibatkan sebuah lori muatan batu kerikil dan sebuah trak yang membawa anggota FRU yang baru sahaja selesai menjalankan tugasan rasmi.

Dalam kejadian tersebut, seramai sembilan anggota telah terkorban manakala sembilan lagi sedang menerima rawatan akibat kecederaan yang dialami.

Tambah Saifuddin, insiden tragis itu amat menyayat hati buatnya dan seluruh rakyat Malaysia.

“Semoga mereka yang masih dirawat diberikan kesembuhan yang segera dan sempurna.

“Marilah kita sama-sama mendoakan agar roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat ALLAH SWT dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada serta solihin,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!