Nahas FRU: Detik sebak anak 12 tahun imamkan solat jenazah bapa

SHAH ALAM - Anak kepada salah seorang mangsa kemalangan lori Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) berusia 12 tahun mengimamkan solat jenazah bapanya dalam suasana penuh hiba dan ketabahan.
Rakaman yang dimuat naik di TikTok oleh ahli keluarga mangsa menyatakan bahawa anak sulung Allahyarham Koperal Amiruddin Zabri, bernama Amirul Firdaus berdiri tabah di hadapan jenazah ayahnya untuk menunaikan tanggungjawab sebagai imam.
“Mamateh bangga dengan Abang Amirul. Di umur 12 tahun sudah mampu imamkan jenazah abah.
“Insya-ALLAH, Amir, anak lelakimu anak yang hebat... Abang Amirul boleh jaga ibu dan adik-adiknya,” kata salah seorang ahli keluarga.
Pada Selasa, sebuah kenderaan FRU telah bertembung dengan lori muatan batu dalam satu nahas jalan raya di Jalan Chikus, Sungai Lampam, Teluk Intan yang berlaku sekitar jam 8.30 pagi, menyebabkan sembilan anggota polis terkorban.
Sembilan anggota yang terkorban ialah Sarjan S. Perumal, 44; Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46; Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41; Koperal Nurit a/l Pandak, 34; Koperal Amiruddin Zabri, 38; Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35; Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33; dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28.
Lebih menyayat hati, isteri Allahyarham, Norazian Mohd Joned, 38, memaklumkan bahawa arwah menanti selama 10 tahun untuk memiliki anak perempuan, namun kini segalanya tinggal kenangan.
Katanya, pemergian suaminya amat dirasai kerana mereka begitu teruja apabila dikurniakan anak perempuan selepas penantian hampir sedekad.
“Dia sangat gembira bila dapat anak perempuan. Tapi sekarang, dia dah tak ada,” ujarnya dalam nada sedih.
Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata, termasuk seorang anak perempuan, Amira Sofea yang baru berusia setahun, serta dua anak lelaki, Amirul Firdaus, 12, dan Amirul Asyraf, 11.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!