Nahas FRU: Bomba guna peralatan khas keluarkan mangsa tersepit

KUALA LUMPUR - Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan tiga anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang tersepit di bahagian hadapan trak pasukan yang terbabit kemalangan di Teluk Intan, pagi Selasa.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayadi Saidon, pasukannya tiba di lokasi kejadian sekitar jam 9.12 pagi dan mendapati tiga anggota FRU tersepit dalam kepala trak.

“Kami menggunakan peralatan khas untuk memotong dan membuka struktur kepala trak itu bagi memudahkan proses mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Ketiga-tiga mangsa yang dikeluarkan itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika pasukan bomba tiba, sebahagian mangsa telah pun berjaya dikeluarkan oleh anggota FRU lain yang terselamat serta orang awam yang berada di kawasan berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan, sekurang-kurangnya sembilan anggota FRU maut manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan trak pasukan dengan sebuah lori muatan batu kerikil di Jalan Chikus–Sungai Lampam di Teluk Intan pada jam 8.54 pagi.
Menurut Ketua Cawangan dan Pengurusan Operasi Balai JBPM Perak, Shazlean Mohd Hanafiah, lapan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, sementara dua lagi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Teluk Intan.
Sementara itu, pemandu lori muatan batu kerikil terbabit telah ditahan polis untuk siasatan lanjut. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
