X

Kindly register in order to view this article
!

Solar panel nak lupus di mana?

A
A

SEBENARNYA soalan itu sudah lama juga saya bertanya. Cuma ia tercetus kembali apabila isteri saya membaca Sinar Harian berkenaan satu artikel bertajuk, Fahami kepentingan tenaga solar.

“Panel solar itu selepas tak pakai hendak buang atau kitar di mana?” tanya isteri saya yang aktif dengan NGO dan prihatin dengan alam sekitar. Maka sayapun membuat kajian untuk menjawab soalan tersebut.

Memang tidak dinafikan akan kebaikan solar panel itu. Cuma saya tercari-cari juga apabila sudah mencapai tempoh jaminan iaitu 25 tahun dan peralatan inverter pula ialah antara lima sehingga 10 tahun, bagaimana pula polisi kitar dan lupus ini?

Maka, langkah seterusnya untuk memantapkan lagi kajian saya, saya ada bertanya beberapa orang yang terlibat dalam sumber tenaga boleh baharu itu. Hanya untuk memastikan supaya saya tidak terlepas pandang.

“Firuz nak tanya, untuk solar panel ini ada tak polisi khas untuk lupus dan kitar?” tanya saya.

“Setahu saya tak ada. Sebab konsep itu guna tenaga hijau. Dari matahari ditukarkan DC, kemudian AC pula,” jawab Firuz yang mungkin tidak faham soalan saya.

Kemudian kata Firuz lagi: “Kalau mesin kompos untuk sisa makanan adalah polisi kitar semula untuk dijadikan baja kompos.”

“Tak maksud saya, solar panel ini jangka hayatnya dikatakan sampai 25 tahun atau mungkin lebih. Dan inverter pula antara hingga lima hingga 10 tahun. Lepas habis jangka hayat, kalau dah tak boleh pakai, macam mana nak lupuskan?”

Sampai ke hari ini, Encik Firuz tidak pula menjawabnya. Mungkin dia lupa hendak menjawabnya atau sedang sibuk menjual solar panel di sebelah utara ini. Yang penting jual dahulu, yang lain mungkin boleh berfikir kemudian.

Kemudian, untuk memuaskan hati saya lagi dalam mendapatkan maklumat lebih terperinci, maka saya ada bertanya lagi dengan orang kuat kakitangan kerajaan juga.

“Mal, untuk solar panel, apa polisi untuk lupus atau kitar? Sebab aku tengok sekarang, hanya dok kempen sahaja. Selepas 25 tahun, macam mana nak lupus?” tanya saya berkobar-kobar lagi.

“Nanti aku tanya Rosliza,” jawab Kamal.

“Kau tanya sekarang boleh tak Mal?” tanya saya lagi mendesak.

“Ok baik, baik, “ jawab Kamal dengan penuh kepatuhan.

Selang beberapa minit Kamal hanya menghantar mesej sahaja kepada saya. Mungkin kredit habis agaknya. Katanya Kamal,

“Tiada polisi khas berkaitan pelupusan solar panel. Terpulang kepada syarikat untuk mengaplikasikan sumber tenaga boleh baharu. Kami memang menggalakkan penggunaannya. Cuma pemasangan perlulah meminta kebenaran dahulu.”

“Polisi kerajaan pun tak ada ya?” tanya saya lagi.

“Tak ada. Cuma solar panel yang mengeluarkan lebih dari 72 KV perlu lesen Suruhanjaya Tenaga,” jawab Kamal.

“Oh baik Mal terima kasih.”

“Beres,” jawab Kamal penuh berkobar-kobar juga demi negara tercinta.

Begitulah hasil dari pertanyaan dan siasatan saya secara rambang sahaja. Dan sekali lagi untuk memuaskan hati saya yang juga sentiasa prihatin dengan alam sekitar, saya melayari pula laman sesewang SEDA.

Saya tidaklah berjumpa dengan perkara berkenaan polisi lupus itu. Cuma setakat ini saya ada terbaca satu berita oleh Bekas Menteri Tenaga, Sains Teknologi dan Persekitaran, Yeo Bee Yin mengatakan, “Fasiliti pertama untuk kitar semula solar panel adalah dalam masa sepuluh tahun lagi.”

Ini mungkin sekumpulan solar panel yang pertama akan dihantar untuk kitar semula dalam masa sepuluh tahun lagi. Fasiliti itu ada di Kulim, Kedah. Masih dalam persiapan katanya. Dijangka laporan dihantar dalam masa terdekat berkenaan bahan kimia solar panel yang dikatakan boleh dikitar semula.

Begitulah yang biasanya berlaku. Kempen besar-besaran telah pun dijalankan. Pokok mungkin telah ditebang untuk mendirikan ladang solar panel, tetapi polisi kitar semula tidak ada pula.

Sudah menjadi adat Malaysia untuk berfikir begitu agaknya. Bak kata peribahasa Melayu, sudah kecurian baru hendak mengunci pintu.

* Faisal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: [email protected]


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!