AS, China setuju tangguh 'perang tarif'

GENEVA – Dua seteru ekonomi dunia, Amerika Syarikat (AS) dan China akhirnya mencapai kesepakatan untuk menggantung sementara 'perang tarif' selama 90 hari selepas ia menggoncang ekonomi global sejak beberapa minggu lalu.
Perjanjian perdagangan itu bermakna tarif timbal balik antara kedua-dua negara akan dikurangkan daripada 125 peratus kepada 10 peratus.
Bagaimanapun, kadar duti sebanyak 20 peratus terhadap import dari Beijing yang berkaitan dengan fentanyl akan dikekalkan, menjadikan jumlah keseluruhan cukai ke atas China kini pada kadar 30 peratus.
Kemajuan positif itu diumumkan selepas wakil kedua-dua negara ekonomi terbesar dunia mengadakan rundingan peringkat tertinggi di Switzerland pada hujung minggu lalu.
“Perbincangan itu sangat produktif dan saya percaya lokasinya di Tasik Geneva menimbulkan suasana yang tenang untuk menjayakan proses tersebut. Kami bersetuju untuk menurunkan kadar tarif kepada 115 peratus,” ujar Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent.
Menurutnya, perbincangan susulan mengenai dasar ekonomi dan perdagangan akan diteruskan, sementara pengumuman tersebut telah menyaksikan peningkatan dalam pasaran saham serta nilai dolar AS.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan China, Li Chenggang, menyifatkan perkembangan tersebut sebagai “khabar gembira buat dunia”.
Pasaran kewangan global menerima impak besar daripada perang tarif Washington-Beijing sejak ia mula mengganggu rantaian bekalan, mencetuskan pemberhentian kerja serta-merta dan melonjakkan harga borong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!