Peraturan ketat visa haji tingkatkan keselesaan, keselamatan jemaah

Pelaksanaan peraturan ketat oleh Kerajaan Arab Saudi terhadap kemasukan individu tanpa visa haji sah memberi impak positif terhadap perjalanan ibadah jemaah haji Malaysia dan antarabangsa pada musim ini. Gambar kecil: Mohd Hisham
Pelaksanaan peraturan ketat oleh Kerajaan Arab Saudi terhadap kemasukan individu tanpa visa haji sah memberi impak positif terhadap perjalanan ibadah jemaah haji Malaysia dan antarabangsa pada musim ini. Gambar kecil: Mohd Hisham
A
A
A

MAKKAH – Pelaksanaan peraturan ketat oleh Kerajaan Arab Saudi terhadap kemasukan individu tanpa visa haji sah memberi impak positif terhadap perjalanan ibadah jemaah haji Malaysia dan antarabangsa pada musim ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, pendekatan tegas kerajaan Arab Saudi itu bukan sahaja memastikan kelancaran ibadah, malah menjamin keselamatan dan kesejahteraan jemaah haji dari seluruh dunia.

“Tabung Haji menyambut baik inisiatif kawalan ketat yang dibuat Kerajaan Arab Saudi. Kita dapati suasana di sekitar Masjidil Haram kini lebih tenang, tidak sesak seperti sebelum ini dan pergerakan keluar masuk jemaah juga lebih teratur.

“Keadaan ini amat membantu jemaah menumpukan kepada ibadah terutama semasa mengerjakan umrah. Kita dapati pengurusan logistik, aliran trafik di sekitar Makkah dan keselamatan awam juga semakin baik. Keselesaan jemaah kini jauh lebih tinggi berbanding musim-musim sebelumnya,” katanya ketika sidang akhbar di Abraj Al Janadriyah di sini pada Isnin.

Menurut Mohd Hisham, peraturan baru yang memperketatkan larangan ke atas mereka yang tidak memiliki visa haji sah turut diperkukuh dengan fatwa Majlis Ulama Tertinggi Arab Saudi yang menetapkan bahawa ibadah haji hanya boleh dilakukan dengan permit yang sah.

“Mana-mana individu yang cuba menunaikan haji tanpa visa sah boleh dikenakan denda sebanyak 20,000 riyal (RM22,925), manakala ejen yang cuba membawa masuk jemaah tanpa kebenaran boleh dikenakan denda sehingga 100,000 riyal (RM114,629).

“Kenderaan yang membawa jemaah tanpa permit sah juga tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan,” jelasnya.

Tambah beliau, pelbagai ‘check point’ di sekitar Kota Makkah diwujudkan bagi memantau kemasukan individu yang tidak mempunyai dokumen sah.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, jemaah Malaysia dinasihatkan supaya sentiasa memakai kad Nusuk, iaitu kad pengenalan khas yang dikeluarkan kepada jemaah haji yang sah.

“Kita juga berharap supaya rakyat Malaysia tidak terpengaruh dengan mana-mana individu ataupun organisasi yang menawarkan janji untuk mengerjakan haji dengan menggunakan visa selain dari visa haji sama ada di media sosial ataupun talian telefon,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 39 penerbangan haji Malaysia telah selamat tiba di Tanah Suci, melibatkan seramai 11,396 jemaah, dengan 5,252 jemaah berada di Madinah dan 6,143 jemaah di Makkah.

Katanya, bermula 14 Mei, semua penerbangan akan mendarat di Jeddah dan semua jemaah terus dibawa ke Makkah untuk menunaikan umrah.

Beliau dalam pada itu, menggesa agar semua jemaah Malaysia sentiasa menjaga kesihatan, mengikuti arahan pihak berkuasa dan bersedia secara fizikal serta mental untuk menunaikan ibadah haji dengan sempurna.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!