10 sengketa maritim di seluruh dunia

TUNTUTAN bertindih di perairan merujuk kepada konflik antara negara melibatkan sempadan laut, hak penangkapan ikan, pemilikan pulau dan penguasaan terhadap sumber alam penting seperti minyak serta gas di dasar laut.
Konflik ini sering berlaku di kawasan strategik hingga mencetuskan ketegangan diplomatik dan ketenteraan. Fenomena perubahan iklim, pertambahan penduduk dan kepentingan ekonomi yang tinggi menyebabkan isu perairan kini menjadi salah satu punca utama konflik antarabangsa. Berikut ialah 10 pertikaian maritim di seluruh dunia.
----------
1. Laut China Selatan
Ia merupakan antara pertikaian maritim paling serius di dunia. China menuntut hampir keseluruhan kawasan di bawah Sembilan garis putus walaupun tuntutan itu tidak diiktiraf tribunal antarabangsa pada 2016. Negara lain seperti Malaysia, Filipina, Vietnam, Brunei dan Taiwan juga menuntut kawasan itu yang kaya dengan sumber minyak, gas asli, hasil laut serta merupakan laluan kapal perdagangan terpenting di dunia. Beijing mencetuskan kemarahan apabila membina pulau buatan dan infrastruktur ketenteraan di kawasan pertikaian multilateral tersebut.
2. Laut China Timur
Ia melibatkan perebutan pulau kecil dikenali sebagai Senkaku (Jepun) atau Diaoyu (China). Kawasan ini mempunyai kepentingan strategik dan potensi sumber minyak serta gas di bawah laut. Tindakan rondaan tentera laut dan kapal pengawal pantai kedua-dua negara meningkatkan lagi ketegangan.
3. Laut Hitam
Ketegangan meningkat selepas Rusia mengilhak Crimea dari Ukraine pada 2014. Perairan sekitar Crimea termasuk pelabuhan dan kawasan laluan perdagangan terus menjadi pertikaian dengan banyak negara. Sejak konflik Ukraine-Rusia tercetus pada 2022, Laut Hitam kekal menjadi zon konflik aktif dengan sekatan laut, serangan dron dan kawalan pelabuhan.
4. Laut Mediterranean Timur
Turkiye dan Greece berselisih faham mengenai sempadan maritim dan hak menggali sumber gas asli di dasar laut. Cyprus turut terlibat pertikaian itu. Ankara bertindak menghantar kapal penyelidikan dan penggerudi ke kawasan yang jadi rebutan itu, namun ditentang keras Greece dan EU.

5. Laut Artik
Fenomena pemanasan global menyebabkan ais mencair, sekali gus membuka laluan laut baharu dan potensi kawasan minyak atau gas. Negara-negara Artik menuntut kawasan dasar laut berdasarkan perluasan benua masing-masing. Pada 2007, Rusia telah meletakkan bendera di dasar Laut Artik hingga mencetuskan kebimbangan antarabangsa.
6. Teluk Parsi
Kawasan ini amat penting kerana menjadi laluan utama eksport minyak dunia melalui Selat Hormuz. Iran berulang kali mengancam untuk menutup selat ini jika terus berdepan sekatan ekonomi. Ia juga melibatkan isu perairan antara Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Qatar.

7. Laut Merah & Teluk Aden
Perairan ini menjadi tumpuan kerana kedudukannya yang strategik antara Asia dan Eropah. Tetapi, masalah lanun, konflik bersenjata di Yemen dan kawalan pelabuhan mencetuskan ketegangan di laluan maritim penting ini. Arab Saudi dan sekutunya bersaing dengan Teheran untuk memegang kawalan di perairan tersebut.

8. Selat Taiwan
China mendakwa Taiwan sebagai sebahagian wilayahnya dan tidak mengiktiraf sempadan laut Taipei. Kawasan tersebut sering menjadi tempat latihan ketenteraan Beijing dan melangkaui garis pertengahan selat. Amerika Syarikat (AS) yang menyokong Taiwan termasuk menyediakan bantuan pertahanan telah meningkatkan lagi ketegangan di perairan itu.
9. Laut Jepun / Timur
Ia melibatkan perebutan pulau kecil yang dikenali sebagai Dokdo (Korea Selatan) atau Takeshima ( Jepun). Walaupun Seoul mengawal pulau tersebut, Tokyo tetap menuntutnya secara rasmi. Pulau tersebut terletak di kawasan kaya hasil laut dan menjadi simbol nasionalisme kedua-dua negara.

10. Kepulauan Kuril
Terdapat empat pulau utama yang dituntut Jepun, namun dikuasai Rusia sejak Perang Dunia Kedua. Pertikaian itu menghalang Moscow dan Tokyo memeterai perjanjian damai secara rasmi sejak perang tamat. Kedudukan pulau-pulau tersebut juga strategik dan dipercayai kaya dengan sumber semula jadi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

