'Saya dengar ibu gajah menangis'

Gambar kecil: Mohd Amir
Gambar kecil: Mohd Amir
A
A
A

WALAUPUN lebih 24 jam telah berlalu, kisah seekor ibu gajah yang setia menunggu anaknya yang mati akibat dilanggar lori di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, awal pagi Ahad terus meruntun hati rakyat Malaysia.

Seorang pengguna Facebook, Mohd Amir Faizal menerusi perkongsian secara langsung pada pagi Isnin berkata ketika kejadian, beliau sedang membuat rondaan pemantauan keselamatan di JRTB dan dapat mendengar dengan jelas tangisan ibu gajah berkenaan.

“Kalau lihat pada bahagian hadapan lori, memang ada kerosakan. Tapi kerosakan itu berpunca daripada tindakan ibu gajah yang menolak lori tersebut berulang kali kerana cuba menarik keluar anaknya.

“Ibu gajah terus mencuba, berkali-kali, sebab ketika itu anaknya masih hidup. Tapi ia tidak mampu menolak lori itu kerana terlalu berat. Itulah ‘seorang’ ibu, tetap berusaha melakukan yang terbaik demi anaknya,” katanya dalam siaran langsung berdurasi kira-kira 45 minit.

Mohd Amir berkata, selepas gajah itu diberikan ubat penenang oleh Jabatan Perhilitan, kaki dan lehernya perlu digari.Ketika itu, beliau membantu dengan menutup mata gajah menggunakan kain supaya haiwan itu tidak menyedari apa yang sedang dilakukan terhadapnya.

“Masa saya letakkan tangan menutup mata gajah, saya dapat rasakan kesedihannya. Saya menggosok badannya agar tidak agresif kerana saya dapat merasakan emosi ibu gajah yang sedang meratapi kehilangan anak,” katanya dipetik Bernama.

“Saya sendiri tidak dapat menahan air mata melihat detik itu,” katanya dalam nada sebak.

Paling menyayat hati, katanya, adalah apabila ibu gajah itu meletakkan kepalanya ke dinding lori dalam keadaan lemah selepas diberi ubat penenang, seolah-olah meratapi nasib anaknya yang sudah tidak bernyawa.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff mengesahkan video tular pada Isnin yang mengatakan ibu gajah itu kembali ke lokasi anaknya dilanggar, bukan video gajah yang sama.

Menurut Yusoff, setakat ini, ibu gajah tersebut telah kembali ke hutan dan dipercayai telah memasuki kumpulannya.

“Tentang video tular yang dikongsi, kami percaya ia bukan video memaparkan gajah yang sama, kerana gajah betina jarang keluar secara solo, ia akan keluar berkumpulan.

"Kita memang ada kakitangan yang meronda di sekitar kawasan tersebut. Setakat ini tiada laporan rasmi diterima, namun saya ada lihat di TikTok orang ramai kongsikan kehadiran gajah di kawasan itu,” katanya.

Dalam pada itu Yusoff berkata, karkas atau bangkai anak gajah jantan terbabit juga telah ditanam di lokasi yang tidak didedahkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!