Monsun Barat Daya: Kada baik pulih Rumah Pam Kemubu

KOTA BHARU – Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) akan memulakan kerja-kerja pembaikan dan pengukuhan benteng cerucuk (sheet pile) sedia ada di Rumah Pam Kemubu, Ketereh di sini bagi menjamin bekalan air ke sawah padi.
Pengerusi KADA, Khalid Abdul Samad berkata, langkah yang bermula bulan depan itu merupakan persediaan bagi musim penanaman padi pertama tahun ini yang dibimbangi terkesan akibat perubahan Monsun Barat Daya bermula 10 Mei (Sabtu) hingga September.
“Kita akan pastikan benteng sheet pile yang lama ini kukuh kerana ia menjadi penghalang hakisan serta saluran utama kemasukan air ke kawasan jelapang.
“Kerja-kerja pembaikan dan pengukuhan akan digerakkan secepat mungkin sebelum kemuncak musim kering berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bersama Warga Kada di Lundang di sini pada Ahad.
Beliau berkata, dalam masa yang sama, pam di Kemubu III juga dijangka siap dalam tempoh terdekat dan akan membantu membolehkan air dipam ke saluran utama walaupun pada paras sungai serendah 2.2 meter.
Katanya, penggunaan pam itu penting dalam memastikan sawah tetap mempunyai air, terutama di kawasan hujung jelapang seperti Bachok dan Pasir Puteh.
“Bagi pembinaan sheet pile baharu di Rumah Pam Kemubu pula, projek masih di peringkat rundingan,” katanya.
Selain itu, menurut beliau, kerja-kerja pembersihan saliran serta penyebaran baja baharu turut akan dilaksanakan bagi menyokong pertumbuhan awal padi musim pertama tahun ini yang dijangka bermula pada bulan depan.
“Semua ini adalah sebahagian daripada kesiapsiagaan kami untuk memastikan musim tanam pertama ini berjalan dengan baik walaupun cuaca dijangka lebih panas dan kering,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Khalid memaklumkan hasil padi bagi musim kedua tahun lalu menunjukkan peningkatan memberangsangkan hasil pelbagai intervensi yang dilaksanakan, termasuk pengurusan air yang lebih baik serta faktor cuaca yang tidak mengalami kemarau sepanjang tempoh penanaman dari November hingga awal Mei ini.
“Kelantan mempunyai 26,664 hektar kawasan sawah dan bagi musim kedua 2024, sebanyak 25,105 hektar atau 94 peratus daripadanya ditanam padi, berbanding hanya 14,000 hektar pada musim pertama tahun sama.
“Sehingga kini, sebanyak 44,931.9 tan hasil sudah dituai melibatkan 10,957 hektar atau 44 peratus kawasan sawah, dengan beberapa lokasi mencatat hasil sehingga lapan tan sehektar, iaitu dua kali ganda daripada sasaran kementerian,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!