Penduduk berdepan pengusiran, tanah mereka kini milik pihak lain

Gambar dari kiri: Rynnalto, Norzera, Awang Aslee
Gambar dari kiri: Rynnalto, Norzera, Awang Aslee
A
A
A

BEAUFORT - Kira-kira 200 penduduk Kampung Jempangah di sini berdepan tindakan pengusiran dari tanah yang didiami sejak hampir 80 tahun lalu, selepas kawasan itu disahkan sebagai milik individu lain

Difahamkan, sebanyak 53 rumah terlibat dalam arahan pengosongan membabitkan kawasan seluas kira-kira empat hektar, menerusi notis mahkamah yang diterima pada 7 Mei lalu.

Pengerusi Ahli Jawatankuasa Bertindak Kampung Jempangah, Rynnalto Elsther Peter berkata, mereka tidak menyangka tanah yang sepatutnya dalam proses permohonan pewartaan sejak lebih 30 tahun lalu di Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Beaufort adalah milik orang lain.

"Permohonan rasmi untuk pemilikan tanah telah dibuat sejak tahun 1992 dan sepanjang proses tiada satu pun surat ditolak malah disokong dan dibenarkan untuk pewartaan tanah.

"Surat terakhir dikemukakan pada 2005, namun selepas itu tiada maklum balas. Hasil semakan juga, pada tahun itu, tanah ini sebenarnya telah dibeli oleh pihak lain tanpa pengetahuan penduduk yang memohon," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kampung tersebut, pada Sabtu.

Bagaimanapun katanya, penduduk hanya menyedari status tanah tersebut pada Disember 2022 apabila satu papan tanda pemilikan diletakkan di kampung berkenaan.

Jelasnya, pada awal 2023, penduduk kemudian diberikan surat tawaran untuk membeli lot tanah daripada pemilik baharu, namun timbul keraguan kerana tiada geran tanah asal dikemukakan.

"Pada awalnya, sukar untuk kami terima kerana pemilik tersebut tidak mengemukakan geran asal sebagai bukti pemilikan.

Artikel Berkaitan:

"Lagipun kampung ini telah lama dilengkapi pelbagai kemudahan asas seperti tangki air graviti, bekalan elektrik, jalan raya dan dewan, jadi siapa sangka tanah ini milik individu lain," katanya.

Rynnalto berkata, penduduk tetap musykil bagaimana permohonan yang dibuat sejak sekian lama berakhir dengan pemilikan oleh pihak lain.

"Justeru, kami sangat berharap agar perkara ini mendapat perhatian dan campur tangan kerajaan kerana kebanyakan penduduk telah membina rumah dan menetap di sini sejak sekian lama dan kini berdepan pengusiran," katanya.

Setiausaha Jawatankuasa Bertindak, Norzera Karmila Kamidi yang juga merupakan penduduk dari generasi keempat di kampung itu, berharap agar tempoh pengosongan dapat dilanjutkan.

"Kami merayu supaya tempoh dua minggu yang diberikan dilanjutkan kerana kebanyakan penduduk di sini adalah golongan B40. Ada yang bekerja sendiri, ada yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan mengambil upah bekerja di kedai-kedai. Mana mungkin dapat berpindah dalam masa sesingkat itu.

"Kami akui tanah ini sudah dimiliki orang lain dengan geran yang sah, namun kami sangat mengharapkan campur tangan kerajaan serta rundingan dengan pemilik tanah, kerana tidak adil untuk kami yang telah tinggal di sini, peninggalan nenek moyang sejak di era British lagi," rayunya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, kerajaan negeri perlu bertindak tegas membela nasib penduduk di kampung tersebut.

"Penduduk kampung beranggapan bahawa tanah diduduki sejak sekian lama itu telah dikitiraf oleh kerajaan sebagai tanah perkampungan yang sah mengikut lunas undang-undang memandangkan permohonan telahpun dibuat sejak lebih 30 tahun lalu.

"Namun apa yang berlaku, mereka telah disaman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu oleh pemilik tanah yang mendakwa kononnya penduduk kampung telah menceroboh serta membina rumah tanpa kebenaran di kawasan tersebut.

"Jadi, saya sangat bersimpati terhadap nasib mereka, perlu diingat penduduk kampung bukan ingkar terhadap perintah mahkamah namun berilah sedikit pertimbangan atau belas kasihan berikutan tempoh dua minggu dilihat terlalu singkat," katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan bahawa penduduk yang mendiami kawasan itu adalah rakyat tempatan dan rata-ratanya dari suku Kadazan Dusun.

"Mereka orang susah, sudah tentu penduduk kampung ini tidak mempunyai keupayaan menggunakan khidmat peguam bagi membolehkan kes ini dapat dipanjangkan ke peringkat Mahkamah Rayuan.

"Kita yakin penglibatan campur tangan pihak kerajaan negeri termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sangat penting untuk menyelesaikan masalah ini dalam tempoh singkat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!