PKR Perak serah siasatan terhadap ADUN Hulu Kinta kepada polis

IPOH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad melibatkan isu pistol ketika pemilihan di peringkat PKR Cabang Tambun baru-baru ini.
Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, pihaknya mengambil maklum laporan yang dibuat dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan kebenaran dakwaan tersebut.
“Kita dah semak daripada kedua-dua pihak yang terlibat, masing-masing mempertahankan kenyataan mereka. Kita tidak berada di tempat kejadian, jadi kita serahkan kepada polis untuk siasat.
“Setahu saya, pihak polis sudah mula ambil tindakan, pistol juga telah dirampas dan mungkin tiada tindakan susulan selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas program Temu Rapat Akar Umbi Bersama Nurul Izzah di sebuah hotel di sini, malam Sabtu.
Sementara itu, mengulas mengenai peletakan jawatan beberapa ahli jawatankuasa Cabang PKR Lenggong seperti yang dilaporkan media, Mohamad Hairul mengesahkan perkara itu berlaku susulan keputusan pemilihan baru-baru ini.
Menurutnya, seramai 14 jawatankuasa cabang berkenaan dilaporkan telah meletakkan jawatan dan pihak Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Perak akan turun padang untuk meneliti situasi sebenar.
“Perkara ini kita ambil serius. Saya mungkin akan usulkan supaya mana-mana pemimpin yang menang dan kemudian letak jawatan tanpa sebab kukuh, tidak dibenarkan lagi bertanding dalam pemilihan akan datang.
“Namun, setakat ini tiada keperluan untuk adakan pemilihan semula. Mengikut perlembagaan, hanya jika dua pertiga ahli jawatankuasa meletak jawatan, barulah cabang itu terbubar,” jelasnya.
Beliau menambah, ketua cabang masih mempunyai kuasa untuk melantik sehingga 11 ahli jawatankuasa tambahan bagi melengkapkan struktur pentadbiran parti di peringkat cabang.
Menurutnya, ini penting bagi memastikan kesinambungan dan kestabilan organisasi parti di peringkat akar umbi terus terpelihara.
Pada 29 April lalu, media melaporkan pihak polis telah merampas pistol milik Muhamad Arafat susulan siasatan dakwaan ugutan jenayah menggunakan senjata api pada 13 April lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pistol jenis Kimber Micro 9 ESV itu telah diserahkan oleh wakil rakyat terbabit pada 19 April lalu bagi tujuan siasatan.
Menurut beliau, pihaknya juga telah menghantar permohonan pembatalan permit pemilikan senjata api kepada Ketua Lesen Pasukan di Bukit Aman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

