Arafat akan dipanggil, rakam keterangan - Polis

IPOH - Polis akan memanggil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad untuk direkod keterangan berhubung dakwaan melakukan ugutan jenayah dengan menunjukkan objek berupa pistol.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pihaknya telah menerima aduan berkaitan kes itu daripada seorang lelaki pada jam 12.28 tengah hari pada Ahad.
Menurutnya, lelaki terbabit memaklumkan telah berlaku kekecohan dalam jamuan majlis hari raya di Dewan Komuniti Taman Indah di sini.
"Semasa hadir ke majlis tersebut, pengadu memaklumkan seorang ahli politik telah acukan objek menyerupai pistol kepadanya dan meminta beredar dari lokasi tersebut.
"Pengadu tidak berpuas hati dan meminta bantuan polis hadir ke lokasi," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Ahad.
Beliau berkata, polis telahpun memulakan siasatan kes itu dengan memanggil beberapa saksi yang berada di lokasi kejadian.
Jelasnya, setakat ini, seramai lapan saksi telah tampil memberi keterangan dan pihaknya sedang mengesan saksi lain yang dikatakan melihat kejadian itu sebagaimana dalam rakaman video yang tular.
"Dalam kes ini, ahli politik tersebut turut dipanggil bagi membantu siasatan.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti motif kejadian," katanya.
Terdahulu, Muhamad Arafat dalam satu kenyataan media menafikan melakukan ugutan tersebut sambil menyifatkan sebagai satu fitnah demi kepentingan politik.
Difahamkan, kejadian tersebut berkait dengan hari pengundian pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) peringkat Cabang Tambun yang berlangsung pada Ahad.
Pada pemilihan parti kali ini, Muhamad Arafat selaku Ketua Cabang Tambun dicabar Shamsul Kamar Ani yang menawarkan diri bertanding jawatan tersebut.
Video berdurasi 1 minit dan 5 saat yang tular tersebut menunjukkan seorang individu memperkenalkan diri sebagai Kalai mendakwa Muhamad Arafat menunjukkan pistol kepada ahli-ahli yang sedang merayu undi.
Individu terbabit yang disebut sebagai calon Timbalan Ketua Cabang Tambun turut memaklumkan bahawa mereka mempunyai bukti kerana disaksikan oleh ramai orang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

