Dakwaan tunjuk pistol: Arafat sudah beri keterangan kepada polis

Muhamad Arafat (duduk, tengah) ketika sidang akhbar di sebuah restoran di Ipoh pada Selasa.
Muhamad Arafat (duduk, tengah) ketika sidang akhbar di sebuah restoran di Ipoh pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad memaklumkan sudah memberi keterangan kepada polis pada Isnin susulan dakwaan ugutan dengan menunjukkan objek berupa pistol.

Beliau tampil berbuat demikian di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ipoh sekitar jam 10 malam selama kira-kira 40 minit.

Ketika sidang akhbar di sebuah restoran, Muhamad Arafat turut menafikan dakwaan seorang individu menerusi satu video yang tular mendakwa beliau menunjukkan pistol pada hari kejadian.

“Apa yang didakwa dalam video ini bercanggah dengan kejadian sebenar dan laporan polis yang dibuat.

"Saya nak menyatakan di sini bahawa saya tidak bawa pistol pada hari kejadian,” katanya kepada pemberita pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa pihak polis menyiasat individu dalam video berkenaan.

Jelasnya, terdapat banyak percanggahan antara dakwaan dalam video dengan laporan yang dibuat berdasarkan kenyataan Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin pada Isnin.

Sementara itu, Muhamad Arafat yang juga Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan.

“Saya dah arahkan peguam memulakan proses undang-undang untuk saman fitnah berjumlah RM1 juta.

Artikel Berkaitan:

"Dalam minggu ini dia akan terima surat tersebut,” jelasnya lagi.

Ditanya mengenai kegagalan mempertahankan jawatan Ketua PKR Cabang Tambun, Muhamad Arafat enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

Beliau memberitahu akan mengemukakan bantahan rasmi kepada jawatankuasa pemilihan parti terhadap keputusan tersebut.

Pada Isnin, media melaporkan bahawa pihak polis akan memanggil ADUN Hulu Kinta itu untuk direkod keterangan berhubung dakwaan melakukan ugutan jenayah dengan menunjukkan objek berupa pistol.

Noor Hisam dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya telah menerima aduan berkaitan kes itu daripada seorang lelaki jam 12.28 tengah hari pada Ahad.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!