Arafat tewas, Kamil Munim menang pemilihan PKR
IPOH - [DIKEMAS KINI] Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad antara wakil rakyat yang tewas dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) peringkat cabang.
Muhamad Arafat gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Tambun apabila memperoleh 1,233 undi berbanding lawannya, Shamsul Kamar Ani yang mendapat 1,458 undi.
Selain itu, Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan turut tewas kepada Timbalan Ketua Penerangan PKR Perak, Novinthen Krishnan bagi jawatan Ketua PKR Cabang Sungai Siput.
Cubaan pertama kali ADUN Hutan Melintang, S Wasanthee bertanding merebut Ketua PKR Cabang Bagan Datuk turun kecundang apabila penyandangnya, R Manukaran mempertahankan jawatan berkenaan.
Dalam pada itu, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berjaya memenangi jawatan Ketua PKR Cabang Padang Rengas menewaskan Lukman Yahaya.
Begitu juga Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri yang berjaya mempertahankan jawatan Ketua PKR Cabang Kuala Kangsar.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, Zaim Sidqi Zulkifly yang bertanding bagi jawatan Ketua AMK Cabang Kuala Kangsar turut memenangi jawatan tersebut.
Pemilihan PKR kali ini juga menyaksikan beberapa 'orang lama' di peringkat cabang gagal mempertahankan jawatan tersebut termasuklah bekas ADUN Bota, Usaili Alias yang kecundang di Parit.
Sementara Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik, Mohamad Maharani Md Tasi pula tewas di Cabang Pasir Salak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

