India buka semula 32 lapangan terbang selepas gencatan senjata dengan Pakistan
Lapangan terbang itu sebelum ini ditutup minggu lalu berikutan pertempuran sengit selama empat hari antara kedua-dua negara,

NEW DELHI - India membuka semula 32 lapangan terbang pada Isnin susulan perjanjian gencatan senjata hujung minggu lalu yang menamatkan pertempuran paling buruk dengan Pakistan sejak tahun 1999.
Pihak Berkuasa Lapangan Terbang India memaklumkan semua lapangan terbang terbabit termasuk di Srinagar, Kashmir yang ditadbir India, hingga ke Bhuj di Gujarat telah beroperasi sepenuhnya untuk penerbangan awam.
Lapangan terbang itu sebelum ini ditutup minggu lalu berikutan pertempuran sengit selama empat hari antara kedua-dua negara, mencetuskan kebimbangan antarabangsa akan tercetusnya perang besar.
Syarikat penerbangan utama, IndiGo, berkata ia akan memulakan semula operasi secara berperingkat di laluan yang terjejas.
Gencatan senjata diumumkan pada Sabtu, namun kedua-dua pihak saling menuduh antara satu sama lain melanggar perjanjian tersebut tidak lama selepas itu.
Bagaimanapun, India dan Pakistan mengesahkan keadaan di kawasan sempadan kembali tenang pada Isnin. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!