Tolak sebarang skim pemutihan, rundingan dengan penceroboh tanah - PSAP

Haslihelmy
Haslihelmy
A
A
A

KUANTAN – Kerajaan Pahang perlu menolak sebarang bentuk pemutihan yang memberi ganjaran kepada penceroboh tanah bagi penanaman durian secara haram di tanah kerajaan dan hutan simpan kekal negeri ini.

Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, pencerobohan tanah kerajaan adalah kesalahan yang melanggar undang-undang dan tidak wajar ada ruang untuk rundingan.

"Isu pencerobohan tanaman di Raub bukan perkara baharu. Sudah 40 tahun berlalu. Adakah wajar mereka yang terlibat diberi tawaran skim pemutihan?" katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Haslihelmy menegaskan bahawa skim pemutihan tidak wajar kerana penceroboh tersebut telah lama meraih keuntungan tanpa membayar cukai.

"Mereka sudah cukup untung selama ini, memberi ganjaran melalui skim pemutihan hanya akan menggalakkan lebih banyak pencerobohan pada masa depan," tambahnya.

Beliau menjelaskan penyelesaian melalui skim pemutihan akan menjadikan pelanggaran undang-undang sebagai jalan pintas menuju pemilikan sah tanah.

"Tanah yang diceroboh adalah tanah kerajaan. Penceroboh tersebut sudah lama mengaut keuntungan.

"Oleh itu, tidak perlu skim pemutihan. Kerajaan negeri atau syarikat milik kerajaan negeri boleh mengambil alih sepenuhnya tanpa rundingan atau pemutihan," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Haslihelmy menegaskan PSAP berpegang kepada prinsip bahawa undang-undang tidak boleh dikompromi dan keuntungan tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan sesuatu yang salah.

Pada Khamis, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyatakan rasa terkejut dengan jumlah tanah kerajaan yang diteroka secara haram seluas 10,521 hektar untuk penanaman durian di daerah Raub.

Setakat ini, Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, Saifullah Muhammad Ali, memberitahu bahawa dalam Operasi Sekat 3.0 bulan lalu, pihaknya menebang pokok durian di kawasan seluas 202.34 hektar di tanah kerajaan negeri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!