Hamas tolak rundingan gencatan senjata

GAZA CITY – Hamas mengumumkan bahawa pihaknya tidak lagi berminat untuk meneruskan rundingan gencatan senjata dengan Israel, sambil mendakwa rejim Zionis sedang melancarkan "perang kebuluran" terhadap penduduk Gaza.
“Tidak ada makna untuk terus berunding atau mempertimbangkan cadangan gencatan senjata baharu selagi perang kebuluran dan pembunuhan beramai-ramai masih berterusan di Gaza,” kata ahli Biro Politik Hamas, Basem Naim, kepada AFP.
Beliau menyeru masyarakat antarabangsa supaya menekan kerajaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, agar menghentikan “jenayah kebuluran, kehausan dan pembunuhan” terhadap rakyat Palestin.
Kenyataan tersebut hadir sehari selepas tentera Israel mengumumkan rancangan operasi besar-besaran di Gaza, termasuk pemindahan besar-besaran penduduknya yang menurut seorang pegawai Israel melibatkan "penaklukan penuh Gaza dan penguasaan wilayahnya".
Sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, hampir seluruh penduduk Gaza telah dipindahkan iaitu dalam banyak kes, berkali-kali dan sekali gus menjadikan krisis kemanusiaan di wilayah itu bertambah parah.
Gaza juga telah berada di bawah sekatan penuh Israel sejak 2 Mac lalu.
Jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal, melaporkan tiga orang termasuk seorang kanak-kanak perempuan maut dalam serangan udara Israel pada awal pagi Selasa.
Jurucakap PBB pula berkata Setiausaha Agung, Antonio Guterres, amat bimbang dengan pelan Israel yang menurutnya akan “mengakibatkan lebih ramai orang awam terbunuh dan kemusnahan yang lebih dahsyat.” - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
