Pelaku kes Faisal Halim mesti dibawa ke muka pengadilan - Pemuda MCA

SHAH ALAM – Pemuda MCA menyifatkan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan kes serangan asid terhadap pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) sebagai amat mengecewakan dan tidak dapat diterima.
Ketua Penerangannya, Neow Choo Seong berkata, keputusan itu bukan sahaja mengecewakan keluarga mangsa, malah seluruh peminat bola sepak tanah air yang mengikuti perkembangan kes berkenaan sejak tahun lalu.
“Faisal, penjaring gol terbaik Piala Asia 2023 mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei tahun lalu. Walaupun beliau telah kembali beraksi, kesan trauma masih membelenggu dirinya.
“Lebih menyedihkan, beliau turut berdepan tekanan psikologi serta menanggung kos rawatan yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan kes melibatkan simbahan asid terhadap Faisal Halim masih diteruskan walaupun diklasifikasikan sebagai NFA.
Beliau berkata, status itu tidak bermaksud siasatan ditutup, sebaliknya merupakan prosedur biasa dalam mana-mana siasatan jenayah.
Mengulas lanjut, Choo Seong berpandangan, keadilan wajib ditegakkan dan mana-mana pelaku yang bertanggungjawab mesti dibawa ke muka pengadilan.
“Ini penting bukan sahaja untuk keadilan mangsa, tetapi bagi memastikan imej Malaysia sebagai negara selamat dan destinasi sukan antarabangsa tidak tercalar,” katanya.
Sehubungan itu, Pemuda MCA menggesa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama timbalannya, Adam Adli bekerjasama dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Undang-undang, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk membuka semula siasatan kes berkenaan.
“Kita tidak mahu kes ini sekadar menerima kenyataan retorik. Tindakan segera perlu diambil. Jika tidak, ia akan menimbulkan persepsi bahawa penjenayah boleh terlepas tanpa hukuman,” katanya.
Choo Seong turut mempersoalkan sejauh mana negara ini mampu menjaga kebajikan pemain seperti Faisal atau dikenali sebagai Mickey sekiranya keadilan gagal ditegakkan.
“Jika seorang pemain kebangsaan yang bersinar seperti Mickey pun tidak dibela, siapa lagi yang boleh kita harapkan?” soal beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

