'NFA' kes serangan asid Faisal Halim titik hitam sejarah sukan negara

Afnan Hamimi. FOTO SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Afnan Hamimi. FOTO SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

SHAH ALAM – Pemuda Pas menggesa kerajaan memberikan penjelasan terperinci di Parlimen berhubung kes serangan simbahan asid terhadap pemain sayap kebangsaan dan Selangor FC, Faisal Halim, yang kini diklasifikasikan sebagai ‘No Further Action’ (NFA).

Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pihaknya menzahirkan kekecewaan mendalam terhadap keputusan mengejutkan itu, selain menganggap ia sebagai satu titik hitam dalam sejarah sukan negara.

Menurut Ahli Parlimen Alor Setar itu, keputusan tersebut memberi gambaran yang amat membimbangkan terhadap tahap keselamatan awam dan tanggungjawab pihak berkuasa dalam menangani jenayah berat secara terang-terangan.

“Apakah benar Malaysia sebuah negara hukum jika tiada pembelaan dan keadilan kepada rakyat dalam kes seperti ini?

“Ini bukan soal Faisal semata-mata, tetapi turut membabitkan keselamatan seluruh atlet kita yang menjadi tanggungjawab Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Kes ini menggemparkan negara dan melibatkan kecederaan serius terhadap mangsa yang menjadi inspirasi kepada ramai anak muda. Maka, sangat tidak wajar sekiranya ia ditutup tanpa sebarang pendakwaan atau penjelasan munasabah kepada umum,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa peguam yang mewakili Faisal telah mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut berhubung kes serangan simbahan asid yang berlaku pada 5 Mei tahun lalu.

Menurut jurucakap Tetuan Mohd Ashraf, Nik Zarith & Co, Nik Zarith Nik Moustpha dan Mohd Haijan Omar, beberapa langkah proaktif telah diambil sejak siasatan bermula bagi memastikan kes tersebut diberi perhatian sewajarnya.

Jelas mereka, antara tindakan yang diambil termasuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta mengemukakan permohonan agar siasatan menyeluruh dijalankan.

Artikel Berkaitan:

Tambah mereka lagi, pihak firma guaman turut menghantar beberapa surat kepada pihak berkepentingan termasuk Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang di-Pertua Dewan Negara, KDN dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menggesa agar siasatan kes dipantau serta diberikan keutamaan.

Mengulas lanjut, Afnan Hamimi berpandangan bahawa pihak berkuasa perlu bertindak mengikut neraca keadilan serta sentiasa memberi jaminan keselamatan kepada rakyat tanpa mengira latar belakang.

“PDRM dan AGC mesti membentangkan asas keputusan NFA yang dikeluarkan kepada rakyat serta membuat penjelasan terbuka bagi mengelakkan kepercayaan umum terhakis.

“Pemuda Pas berharap pihak berautoriti dapat melaksanakan tuntutan ini dengan kadar segera, dan kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan susulan sekiranya kerajaan tidak memandang serius perkara ini.

“Jangan sampai rakyat mengalami defisit kepercayaan terhadap pihak berkuasa hanya kerana kegagalan dan sikap sambil lewa kerajaan dalam menjamin serta memastikan keselamatan masyarakat,” ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!