Setahun Faisal Halim tanpa keadilan

SELEPAS setahun pemain sayap kebangsaan dan Selangor FC, Faisal Halim diserang dengan cara disimbah asid di pekarangan pusat beli belah, timbul khabar baharu mengatakan kes tersebut diklasifikasikan sebagai ‘No Further Action’ (NFA).
Keputusan yang jelas mengejutkan ramai pihak khususnya peminat bola sepak tanah air, bahkan mengundang kekecewaan tuan empunya badan dan peguam.
Menurut jurucakap Tetuan Mohd Ashraf, Nik Zarith & Co, Nik Zarith Nik Moustpha dan Mohd Haijan Omar, beberapa langkah proaktif telah diambil sejak siasatan bermula bagi memastikan kes tersebut diberi perhatian sewajarnya.
Malah, pihaknya turut menghantar beberapa surat kepada pihak berkepentingan termasuk Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang Dipertua Dewan Negara, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menggesa agar siasatan kes dipantau serta diberikan keutamaan.
Bukan itu sahaja, firma guaman memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta mengemukakan permohonan agar siasatan menyeluruh dijalankan.
Bagaimanapun, menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, siasatan masih diteruskan meskipun kes diklasifikasikan sebagai NFA.
Katanya, status itu tidak bermaksud siasatan ditutup, sebaliknya ia merupakan prosedur biasa dalam mana-mana siasatan jenayah.
Ujar Mohd Shuhaily, sekiranya tangkapan tidak mempunyai kaitan atau tidak membantu siasatan, Timbalan Pendakwa Raya akan mengklasifikasikan kes sebagai NFA sehingga wujud maklumat mahupun perkembangan baharu.
Menurutnya lagi, sebarang perkembangan kes akan dimaklumkan kepada peguam Faisal dari semasa ke semasa.
Beliau dalam masa sama turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Apa pun, diharapkan pelaku dapat dikenal pasti dan berjaya diheret ke muka pengadilan tidak kira cepat atau lambat.
Kronologi kes Faisal Halim disimbah asid
Berikut adalah kronologi kes membabitkan pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim yang disimbah asid.
5 Mei 2024
Faisal dilaporkan disimbah asid di sebuah pusat membeli-belah di ibu kota.
Faisal disahkan mengalami kecederaan lecur tahap empat dan perlu menjalani beberapa siri pembedahan
6 Mei 2024
PDRM dilaporkan memberkas seorang lelaki untuk siasatan kejadian bagi kes Faisal
7 Mei 2024
PDRM dilaporkan menangkap seorang lagi suspek berhubung kes itu dan direman lima hari
7 Mei 2024
Suspek pertama dilaporkan dibebaskan kerana tiada kaitan
11 Mei 2024
Suspek kedua dilaporkan dibebaskan dengan jaminan polis
19 Mei 2024
PDRM edarkan lakaran wajah atau fotofit suspek dipercayai terbabit kes Faisal Halim
20 Mei 2024
Faisal menjalani pembedahan terakhir membabitkan proses 'split skin grafting' (SSG)
25 Mei 2024
Faisal dibenarkan keluar dari hospital
10 Ogos 2024
Faisal tampil buat kali pertama sebagai pemain gantian Selangor FC (SFC) menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC
25 November 2024
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dimaklumkan kes Faisal diambil alih Unit Siasatan Terkelas Bukit Aman
9 Mac 2025
Faisal menjaringkan hatrik ketika menentang KDN FC
25 Mac 2025
Faisal diturunkan ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim
8 Mei 2025
Peguam kepada Faisal Halim mengesahkan kes serangan asid membabitkan pemain itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) oleh Jabatan Peguam Negara (AGC)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

