Isu tambahan insentif bajak: MADA tiada kuasa, hanya pelaksana - Ismail

ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan tambahan insentif pembajakan dan penuaian seperti dituntut pesawah dan pembekal perkhidmatan sektor itu sejak tahun lalu.
Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, agensi itu hanya bertindak sebagai pelaksana kepada inisiatif tersebut yang dikelolakan oleh Pembangunan Industri Padi (PIP) di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“Tanggungjawab untuk menyelesaikan isu kelewatan pembayaran insentif pembajakan dan penuaian terletak di bawah bidang kuasa PIP.
“MADA tidak mempunyai kuasa untuk buat keputusan mengenai kelulusan atau pelaksanaan tambahan insentif,” katanya.
Ismail berkata demikian bagi mengulas keluhan pesawah berhubung kelewatan pembayaran insentif berjumlah RM210 per hektar yang dijanjikan kerajaan sejak hampir setahun lalu.
Pada 30 April, Sinar Harian melaporkan rungutan kalangan pesawah serta pembekal perkhidmatan membajak dan menuai yang mendakwa masih belum menerima bayaran yang diumumkan KPKM pada 11 Jun 2024.
Menurut mereka, kerajaan sebelum ini mengumumkan peningkatan insentif pembajakan daripada RM100 kepada RM160 per hektar serta insentif penuaian sebanyak RM50 per hektar, menjadikan jumlah keseluruhan RM210 per hektar bagi setiap musim.
Kegagalan menyalurkan bantuan tersebut bukan sahaja menjejaskan aliran tunai pesawah, malah menambah beban dalam situasi kenaikan kos operasi yang berterusan.
Dalam pada itu, Ismail berkata, walaupun tidak mempunyai bidang kuasa secara langsung dalam pemberian insentif, MADA sentiasa berusaha membantu pesawah dengan mencari mekanisme yang boleh mengurangkan kos operasi termasuk aktiviti bajak dan tuai.
“Usaha ini merupakan sebahagian daripada agenda utama MADA dalam membantu mengurangkan kos keseluruhan penanaman padi dan memastikan daya saing pesawah terus kukuh,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

