Agrobank perluas perlindungan pesawah melalui pelancaran STTP di Sabah

Agrobank melancarkan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) di Sabah pada Ahad.
Agrobank melancarkan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) di Sabah pada Ahad.
A
A
A

AGROBANK melancarkan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) di Sabah pada Ahad bagi memperluas perlindungan kewangan kepada pesawah di seluruh negara.

Agrobank dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan bahawa STTP, yang diperkenalkan sejak September 2024, menawarkan perlindungan patuh syariah sehingga RM3,000 bagi kerugian akibat bencana alam serta sehingga RM1,500 bagi serangan makhluk perosak dan penyakit tanaman - lebih tinggi berbanding skim bantuan bencana sedia ada.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, sehingga 30 April 2025, seramai 5,642 pesawah di Sabah telah mendaftar dan menerima perlindungan di bawah STTP.

“Lebih 19,000 pesawah masih belum berdaftar, termasuk 6,602 individu yang belum mempunyai akaun Agrobank,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Menurut beliau, skim ini ditawarkan dengan kadar caruman berpatutan sebanyak RM64.80 bagi setiap hektar bagi setiap musim, dan buat masa ini kadar caruman tersebut ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar pesawah yang masih belum berdaftar segera berbuat demikian agar tidak ketinggalan daripada mendapatkan perlindungan yang ditawarkan.

Sehingga Mac 2025, sejumlah RM16.2 juta pampasan telah diluluskan bagi membantu meringankan beban 6,319 pesawah dari seluruh negara yang terkesan akibat bencana.

“Pelancaran STTP di Sabah adalah bukti komitmen Agrobank dalam memastikan tiada pesawah yang terpinggir daripada perlindungan kewangan yang amat diperlukan.

“Kami memahami cabaran yang dihadapi oleh komuniti pesawah dan akan terus melaksanakan peranan kami sebagai penyedia solusi kewangan yang inklusif dan menyeluruh untuk sektor agromakanan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyambut baik usaha kerajaan Sabah melalui penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) sebagai rakan strategik yang akan membantu memperkukuh pengurusan industri padi dan beras yang lebih tersusun, cekap dan berdaya saing di Sabah.

Langkah ini, menurut kenyataan tersebut, selaras dengan matlamat kementerian untuk terus meningkatkan keterjaminan makanan negara dan memperkukuh rantaian nilai agromakanan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!