85 mangsa disyaki buruh paksa diselamatkan di seluruh negara

Antara warga asing yang diperiksa menerusi Op Pintas Mega di seluruh negara pada Khamis. Gambar kecil, Mohd Shuhaily.
Antara warga asing yang diperiksa menerusi Op Pintas Mega di seluruh negara pada Khamis. Gambar kecil, Mohd Shuhaily.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Op Pintas Mega melibatkan 36 serbuan yang dilaksanakan bagi membanteras jenayah pemerdagangan orang berjaya menyelamatkan 85 mangsa eksploitasi buruh di seluruh negara, pada Khamis.

Operasi serentak itu dijalankan melibatkan 14 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, serbuan melibatkan premis restoran, bengkel, perkilangan, tapak pembinaan serta cuci kenderaan.

Menurutnya, hasil operasi telah menahan 175 orang berusia 26 hingga 60 tahun membabitkan warga tempatan, Thailand, India, Bangladesh, Indonesia, Pakistan, Filipina, Myanmar, Nepal dan China.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12 dan Seksyen 14 Akta Atipsom 2007, Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata, sepanjang operasi itu, seramai 85 mangsa berusia 14 hingga 50 tahun terdiri daripada 58 lelaki, 10 wanita, 16 kanak-kanak lelaki serta seorang kanak-kanak perempuan.

Tambahnya, mangsa melibatkan warga Filipina, Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Myanmar serta tempatan.

"Mereka ini disyaki menjadi mangsa pemerdagangan orang bagi tujuan buruh paksa," ujarnya.

Jelas beliau, fokus operasi ialah mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dalam sektor perkhidmatan, perladangan, eksploitasi buruh kanak-kanak serta sindiket pengemis berpandukan kepada Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI) 2.0.

Artikel Berkaitan:

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius ke atas aktiviti jenayah pemerdagangan orang dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang melakukan kegiatan ini," ujarnya.

Operasi secara bersepadu itu turut dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Antipemerdagangan Orang (Mapo), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta pihak berkuasa tempatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!