Tren penumpang laluan Pasir Gudang-Kempas Baru akan diperkenal

Anthony menyempurnakan flag off sempena Majlis Pembukaan Semula Landasan Untuk Operasi Perkhidmatan Kargo Bagi Laluan Kempas Baru - Pasir Gudang di Terminal Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Pasir Gudang pada Jumaat.
Anthony menyempurnakan flag off sempena Majlis Pembukaan Semula Landasan Untuk Operasi Perkhidmatan Kargo Bagi Laluan Kempas Baru - Pasir Gudang di Terminal Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Pasir Gudang pada Jumaat.
A
A
A

PASIR GUDANG - Laluan kereta api kargo dari Kempas Baru ke Pasir Gudang yang sebelum ini digunakan khusus untuk perkhidmatan barang kini dibuka semula dengan perancangan baharu iaitu bagi membawa penumpang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah strategik ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kemudahan pengangkutan awam di selatan tanah air, khususnya di kawasan yang pesat membangun seperti Pasir Gudang.

"Perbincangan bersama pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah dilakukan bagi meluaskan fungsi landasan sedia ada yang selama ini hanya digunakan bagi pengangkutan kargo.

"Kita nak tambah perkhidmatan penumpang memandangkan terdapat ramai penduduk yang boleh memanfaatkan laluan ini namun, cabaran utama adalah ketiadaan stesen penumpang sepanjang laluan hampir 40 kilometer ini," katanya ketika sidang akhbar sempena Majlis Pembukaan Semula Landasan Untuk Operasi Perkhidmatan Kargo Bagi Laluan Kempas Baru - Pasir Gudang di Terminal Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Pasir Gudang pada Jumaat.

Beliau berkata, pihak berwajib kini dalam proses mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga lokasi yang sesuai untuk dibangunkan sebagai stesen penumpang.

"Stesen itu tak perlu terlalu 'fancy,' cukup dengan platform yang sesuai, tempat menunggu dan sistem yang selamat.

"Yang penting, kereta api boleh berhenti ambil dan turunkan penumpang dengan selesa," katanya.

Laluan tersebut dijangka menghubungkan penumpang terus ke Stesen Kempas Baru, yang kini dirancang sebagai stesen utama transit ke Johor Bahru serta laluan lain termasuk Shuttle Tebrau dan perkhidmatan antara Gemas ke selatan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Anthony berkata, pembinaan stesen berkenaan akan turut mengambil kira faktor keselamatan selain dari segi akses masuk dan keluar agar tidak mengganggu lalu lintas sedia ada.

Malah katanya, kerajaan turut menjangkakan pembiayaan projek berkenaan boleh dilaksanakan melalui sumber dalaman Perbadanan Aset Keretapi (RAC), serta kerjasama erat dengan kerajaan negeri Johor.

"Kalau ikut jangkaan, kita mahu pelaksanaan ini dibuat dalam tempoh enam hingga 13 bulan. Tiada kajian tambahan diperlukan – semuanya sudah ada.

"Cuma kita sedang teliti lokasi terbaik untuk stesen dan dapatkan kelulusan pembiayaan daripada Kementerian Kewangan, " katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!