Tangani anjing liar demi keselamatan awam

Lambakan anjing liar berkeliaran di merata-rata di Negeri Sembilan telah menimbulkan kegelisahan kerana mengancam keselamatan penduduk.
Lambakan anjing liar berkeliaran di merata-rata di Negeri Sembilan telah menimbulkan kegelisahan kerana mengancam keselamatan penduduk.
A
A
A

MASALAH anjing liar akan terus membelenggu rakyat Negeri Sembilan jika tiada tindakan tegas dilakukan kerajaan negeri bagi mengatasi isu itu. Lambakan anjing liar berkeliaran di merata-rata di negeri ini telah menimbulkan kegelisahan kerana mengancam keselamatan penduduk.

Beberapa kejadian serangan anjing liar turut dilaporkan berlaku seperti membabitkan kes seorang warga emas cedera digigit haiwan berkenaan dalam kejadian di Rembau, Ramadan lalu.

Ketika kejadian, tukang kebun berusia 69 tahun itu bersama isteri berusia 58 tahun berjalan kaki pulang ke rumah dari bazar Ramadan sebelum dikejar seekor anjing di kawasan tersebut.

Situasi itu menyebabkan mangsa cedera di tangan dan punggung hingga terpaksa dibawa ke hospital untuk menerima rawatan pesakit luar. Mangsa juga perlu menerima rawatan susulan termasuk suntikan bagi mencegah jangkitan anjing gila.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Rabu lalu mencadangkan pelupusan sebahagian anjing liar di kawasan majoriti Melayu-Islam. Berhujah mengenai perkara itu, Aminuddin memberitahu, asas kepada pelaksanaan itu susulan kaedah pemandulan anjing liar yang dibuat ketika ini dilihat kurang berkesan.

Ini selepas anjing liar di kawasan berkenaan didapati semakin tidak terkawal sehingga mengganggu urusan harian mereka yang mahu ke masjid selain mengancam keselamatan anak-anak untuk ke sekolah. Malah, katanya, isu sama sering dibangkitkan dalam Sidang DUN seolah-olah kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan.

Cadangan itu akhirnya mendapat sokongan majoriti ADUN di Negeri Sembilan yang bersetuju bahawa kaedah pelupusan anjing liar perlu dilaksanakan.

Aminuddin sedia maklum cadangan tersebut bakal mendapat tentangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), namun beliau berharap kumpulan pencinta haiwan itu dapat memahami bahawa terdapat kemalangan disebabkan anjing liar.

Beliau menegaskan cadangan pelupusan itu tidak dilaksanakan di semua kawasan tetapi hanya di lokasi di kenal pasti memberikan ancaman kepada penduduk setempat.

Artikel Berkaitan:

Namun cadangan tersebut telah mendapat maklum balas kurang senang daripada beberapa pihak, antaranya Pertubuhan Bersatu Negeri Sembilan yang menyifatkan kenyataan Aminuddin itu sebagai tidak sensitif dan bercanggah dengan prinsip kemanusiaan.

Pengerusinya, Datuk Seri S Surash menggesa kerajaan negeri menghentikan segera rancangan pelupusan itu sebaliknya bekerjasama dengan NGO kebajikan haiwan untuk melaksanakan program Tangkap, Mandul dan Lepaskan (TNR) yang telah terbukti berkesan dan beretika.

Sebuah lagi NGO, Persekutuan Generasi Bersekutu Negeri Sembilan pula mencadangkan anjing liar tersebut ditangkap kemudian divaksin sebelum dijadikan sebahagian daripada produk pelancongan seperti Cat Paradise di Batu Feringgi, Pulau Pinang.

Pengerusinya, Syed Ariffin Abu Thahir turut mencadangkan haiwan berkenaan diberi latihan untuk digunakan dalam operasi menyelamat dan penguatkuasaan.

Sementara itu, Persatuan Haiwan Malaysia berpandangan kerajaan Negeri Sembilan membuat keputusan bijak dalam menangani isu itu dan langkah kawalan tersebut wajar dicontohi oleh kerajaan negeri lain memandangkan isu anjing liar semakin membimbangkan.

Ujarnya, puluhan ribu laporan rasmi berkenaan serangan anjing liar dilaporkan di seluruh negara, termasuk kes melibatkan kecederaan parah dan kematian. Sudah tiba masa keselamatan 32 juta rakyat negara ini dipelihara berbanding melayani tuntutan kumpulan kecil pencinta anjing liar yang tidak pernah tampil bertanggungjawab terhadap kes-kes kritikal membabitkan serangan.

Persatuan Haiwan Malaysia menegaskan bahawa kerajaan tidak lagi boleh berkompromi dalam hal melibatkan keselamatan awam selain menggesa agar setiap keputusan dibuat berdasarkan rasionalisasi, bukan atas dasar emosi semata-mata.

Katanya, sekiranya pencinta anjing liar menganggap haiwan itu sebagai sebahagian keluarga, maka kaedah Tangkap, Mandul dan Pelihara (TNA) harus dilaksanakan iaitu menjadikan anjing liar sebagai haiwan peliharaan bukan dibiarkan di jalanan.

Persatuan itu berkata, jangan jadikan kasih sayang dan keprihatinan peribadi kita sebagai beban kepada masyarakat. Inilah yang dinamakan kebajikan yang sebenar.

Penulis senada dengan kenyataan Persatuan Haiwan Malaysia dan berpandangan buatlah apa juga tindakan asalkan isu anjing liar ini dapat dinoktahkan dan tiada lagi kes manusia diserang anjing liar dilaporkan.

* Norafiza Jaafar ialah Ketua Biro Melaka & Negeri Sembilan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!