Pengurus syarikat rugi RM5.02 juta akibat skim pelaburan tidak wujud

Mohd Zaini
Mohd Zaini
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang pengurus syarikat kerugian RM5.02 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan berkata, mangsa merupakan lelaki warga tempatan berusia 72 tahun.

Beliau berkata, mangsa tertarik dengan satu iklan pelaburan pada awal Mac lalu dan berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp.

"Mangsa dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp sebelum diminta memuat turun satu aplikasi serta mendaftar sebagai pelabur baharu.

"Mangsa kemudian membuat bayaran secara berperingkat ke empat akaun bank berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM5.02 juta," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Mohd Zaini, mangsa mula curiga selepas diminta membayar pelbagai jenis cukai bagi mendapatkan kembali wang pelaburan tersebut.

"Siasatan mendapati modus operandi sindiket adalah memperdaya mangsa dengan tawaran pelaburan berpulangan tinggi di media sosial.

"Satu laporan polis telah dibuat mangsa dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Mohd Zaini berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan pelaburan menerusi aplikasi kewangan atau pelaburan yang tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya menerima sebarang panggilan atau tawaran mencurigakan, orang awam boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk semakan dan nasihat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!