Kelantan mahu jadi penyumbang utama kerjaya profesional hafaz al-Quran

KOTA BHARU – Kelantan mahu menjadi penyumbang utama dalam melahirkan lebih ramai golongan profesional termasuk doktor, jurutera dan ahli ekonomi yang juga merupakan penghafaz al-Quran sebagai pelapis kepimpinan negeri.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, sehingga tahun lalu seramai 5,370 hufaz, membabitkan 3,573 hafiz dan 1,797 hafizah, telah dilahirkan melalui institusi pendidikan di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Menurut beliau, semua hufaz perlu meningkatkan potensi dan kebolehan diri dalam aspek memahami serta menghayati kandungan al-Quran, selain daripada kelebihan mengingati kalam ALLAH SWT itu.
“Kita tidak mahu membina dan membangunkan negeri hanya dengan infrastruktur dan angka pertumbuhan semata-mata, tetapi melalui taqwa dan akhlak terpuji,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan Kali Ke-15 Tahun 2024 pada Khamis.
Mohd Nassuruddin berharap semua penghafaz al-Quran dapat meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam pelbagai bidang, sama ada aliran agama mahupun profesional.
“Generasi al-Quran yang kita lahirkan ini akan menggalas tugas memimpin masyarakat dengan panduan wahyu dan nilai-nilai Islam yang murni.
“Kita harap semua graduan tahfiz terus menjadi duta al-Quran serta contoh kepada masyarakat, sama ada dalam konteks akhlak, pemikiran mahupun perjuangan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!