Pakistan dakwa tembak jatuh 12 dron Israel milik India

ISLAMABAD – Tentera Pakistan mendakwa berjaya menembak jatuh 12 dron buatan Israel milik India dalam satu lagi insiden pencerobohan ruang udara berhampiran bandar utama seperti Karachi dan Lahore, sekali gus menyifatkan tindakan itu sebagai satu bentuk pencerobohan terang-terangan oleh New Delhi.
Jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry dalam sidang media pada Khamis berkata, dron jenis Harop yang diimport dari Israel itu ditembak jatuh di beberapa lokasi berbeza.
“Serpihan sedang dikumpulkan dari semua lokasi impak, termasuk dalam kawasan bandar Karachi dan Lahore,” katanya.
Menurut beliau, India terus melancarkan pencerobohan dron selepas beberapa serangan rentas sempadan baru-baru ini, namun Pakistan mengambil tindakan balas dengan ‘menggagalkan dan meneutralkan’ setiap serangan tersebut.
“India sedang membayar harga yang mahal dan akan terus menanggung akibat daripada pencerobohan terang-terangan ini,” tegasnya.
Bagaimanapun, pihak tentera tidak mengesahkan sama ada insiden itu menyebabkan sebarang kematian atau kerosakan infrastruktur. Katanya, maklumat lanjut hanya akan didedahkan selepas analisis ke atas serpihan dron selesai dijalankan.
Dalam tempoh sedekad lalu, India telah mengimport peralatan ketenteraan bernilai AS$2.9 bilion (kira-kira RM12.9 bilion) dari Israel, termasuk radar, dron pemantauan dan tempur serta peluru berpandu.
Dalam pada itu, media antarabangsa turut melaporkan bahawa Pakistan mendakwa India sengaja meningkatkan ketegangan bagi menggagalkan Perjanjian Perkongsian Air Sungai Indus yang dimeterai pada tahun 1960. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!