Sindiket antarabangsa dibongkar, dadah hampir RM118 juta dirampas

Kok Chin menunjukkan dadah hampir RM118 juta dirampas selepas polis menahan 12 individu termasuk seorang wanita disyaki terlibat dengan sindiket memproses dadah.
Kok Chin menunjukkan dadah hampir RM118 juta dirampas selepas polis menahan 12 individu termasuk seorang wanita disyaki terlibat dengan sindiket memproses dadah.
A
A
A

SHAH ALAM - Selaras sub mesingun, 15 pucuk pistol, 900 peluru serta dadah bernilai hampir RM118 juta dirampas selepas polis menahan 12 individu termasuk seorang wanita disyaki terlibat dengan sindiket memproses dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, pihaknya menahan 10 lelaki warga Taiwan, seorang lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga Thailand berusia 20 hingga 50 tahun ditahan secara berasingan sekitar Lembah Klang, pada Khamis.

"Serbuan pertama pada jam 2.20 petang, kita telah menahan lapan lelaki warga Taiwan yang sedang mengendalikan kerja-kerja memproses dadah di sebuah gudang di Taman Industri Alam Jaya 2, Puncak Alam.

"Kita turut merampas dadah jenis erimin 5 anggaran berat 306kg, ektasi (183.7kg) dan peralatan memproses dadah serta pelbagai bahan kimia," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, pada Ahad.

Kok Chin (tengah) menunjukkan senjata api dirampas.
Kok Chin (tengah) menunjukkan senjata api dirampas.

Kok Chin berkata, serbuan kedua pula, pihaknya telah menahan dua lelaki warga Taiwan berperanan sebagai kordinator dan seorang wanita warga Thailand di sebuah premis di Jalan Puncak Alam 5, Pusat Perdagangan Puncak Alam Jaya, pada jam 2.30 petang hari sama.

"Hasil pemeriksaan di premis berkenaan, kita merampas lima bungkusan berisi dadah ketamin seberat 533 gram dan erimin 5 seberat 203 gram," katanya.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah rumah dijadikan sebagai stor penyimpanan dadah yang telah diproses di Desa Park City, Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

"Kita telah merampas selaras sub mesingun, 900 butir peluru, 15 pucuk pistol serta dadah ekstasi (310kg), kokain (21.1kg), syabu (5.2kg), heroin (3.6kg), heroin base (1.8kg) ganja (0.5kg) dan ketamin (0.4kg)," katanya.

Mengulas lanjut Kok Chin berkata, seorang lelaki tempatan yang juga berperanan sebagai kordinator ditahan di sebuah rumah di Balakong Jaya, Seri Kembangan.

"Modus operandi sindiket yang aktif sejak Disember lalu itu menjadikan gudang yang disewa RM60,000 di kawasan perindustrian sebagai tempat memproses dadah.

"Selain itu sindiket turut menyewa rumah untuk dijadikan stor sebelum dadah diedarkan untuk pasaran tempatan dan antarabangsa," katanya.

Kok Chin (dua dari kanan) melihat kenderaan mewah yang disita.
Kok Chin (dua dari kanan) melihat kenderaan mewah yang disita.

Kok Chin berkata, tindakan juga diambil dibawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

"Kita telah menyita aset wang tunai yang dianggarkan bernilai RM1 juta," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati salah seorang suspek warga Taiwan telah menyeludup masuk senjata api dari Myanmar.

"Suspek berkenaan disyaki telah melarikan diri ke Myanmar setelah ada kes jenayah di negara asal.

"Suspek kemudian bekerja di Myanmar serta berurusan dengan sindiket di sana untuk pembelian senjata api dengan menggunakan orang tengah," ujarnya.

Menurutnya, dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM117,992,500.

"Jumlah dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan seramai 3.34 juta penagih dadah," ujarnya.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati tiga lelaki warga Taiwan positif dadah ketamin.

"Semakan rekod jenayah melalui Ministry Of Justice Investigation Bureau (MJIB) mendapati hanya enam suspek warga Taiwan mempunyai rekod jenayah antaranya kes dadah, bunuh, jenayah kekerasan dan penipuan," katanya.

Kok Chin berkata, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Jumaat hingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) dan Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1960," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!