Sindiket antarabangsa guna perairan Terengganu seludup dadah RM25 juta
SETIU - Cubaan sindiket antarabangsa menggunakan perairan Terengganu sebagai laluan transit untuk menyeludup dadah bernilai RM25 juta gagal apabila ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di Sungai Setiu pada 23 April lalu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner (DCP) Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, operasi khas itu dijalankan hasil risikan pasukan JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Terengganu, JSJN Kelantan dan Pasukan Gerakan Marin.
Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun ditahan ketika sedang memunggah beg dari bot ke tebing Sungai Setiu dalam serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 9 malam.
"Hasil pemeriksaan menemui 29 beg pelbagai warna yang mengandungi 470 bungkusan dadah disyaki methamphetamine seberat 479.27 kilogram (kg) dan 297 ketulan heroin seberat 109.89kg," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu di sini pada Isnin.
Menurut beliau, serbuan kedua pula dilakukan sejam kemudian dengan bantuan Pasukan Gerakan Marin yang berjaya menahan seorang lagi lelaki berusia 39 tahun di tepi Pulau Tok Bilal, Sungai Setiu.
"Suspek kedua ditahan bersama sebuah beg galas yang mengandungi satu bungkusan plastik mengandungi dadah disyaki methamphetamine seberat 1.02kg," ujarnya.
Mat Zani berkata, dadah dipercayai dari negara Segi Tiga Emas itu dibawa masuk ke negara ini sebagai transit sebelum dihantar untuk pasaran Australia.
Katanya, jumlah keseluruhan dadah methamphetamine seberat 480.29kg dan109.89kg heroin yang dianggarkan bernilai RM25 juta di pasaran itu mampu merosakkan 2.95 juta pengguna.
Jelas beliau, ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati negatif, namun semakan rekod mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod lampau termasuk satu kes berkaitan narkotik.
Mengulas lanjut, Mat Zani berkata, sindiket itu dipercayai mula aktif sejak awal Mac dengan menggunakan modus operandi menyewa bot memancing dengan harga RM4,800 bagi pakej tiga hari dua malam untuk menyeludup dadah ke negara ini.
"Kita turut menyita beberapa harta milik sindiket di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 bernilai RM46,000 membabitkan tiga kenderaan iaitu Toyota Vios, Honda Civic dan sebuah motosikal Honda EX5, dua barangan kemas, sebuah helmet mewah dan wang tunai RM1,631.
"Kesemua suspek direman selama 14 hari bermula 24 April hingga 7 Mei ini. Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan saki-baki ahli sindiket yang masih bebas untuk diheret ke muka pengadilan," katanya.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah diminta menghubungi Hotline JSJN di talian 012-208 7222.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
