[VIDEO] Dua lelaki didakwa edar dadah hampir 600kg
KUALA TERENGGANU - Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas lima pertuduhan mengedar hampir 600 kilogram dadah jenis methamphetamine dan heroin di daerah Setiu pada April lalu.
Tertuduh, Nik Khairil Shahruzie Nik Rozlan, 32, dan Muhamad Reduan Meor Hussin, 38, masing-masing mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiquddin Zulkifli.
Berdasarkan pertuduhan pertama, mereka bersama seorang lagi individu yang masih bebas didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 480.380 kilogram di kawasan tebing Sungai Setiu kira-kira jam 9 malam pada 23 April lalu.
Bagi pertuduhan kedua, mereka turut didakwa mengedar heroin seberat 109.890 kilogram di lokasi dan masa yang sama.
Sementara itu, Muhamad Reduan pula berdepan tiga pertuduhan berasingan atas kesalahan sama.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa secara bersendirian mengedar methamphetamine seberat 1,020 gram di tepi Pulau Tok Bilal, Sungai Setiu sekitar jam 10 malam pada hari sama.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 15 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Mahkamah menetapkan 3 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Setiu.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Najah Azhar, manakala Nik Khairil Shahruzie diwakili peguam Anasuha Atiqah Mat Saidi dan Mohd Izzat Hasizan.
Muhamad Reduan pula diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Syameer Haziq Shaharuddin.
Isnin lalu, media melaporkan polis berjaya mematahkan cubaan sindiket antarabangsa menggunakan perairan Terengganu sebagai laluan transit untuk menyeludup dadah bernilai RM25 juta dalam dua serbuan berasingan di Sungai Setiu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
