Akta 723 terpakai untuk semua tanpa mengira darjat - Armizan

Armizan
Armizan
A
A
A

PUTRAJAYA - Penggunaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) (AKHAP) tidak tertakluk kepada sebarang pengecualian.

Sebaliknya tegas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali, banyak sektor perniagaan yang sedia ada tertakluk kepada akta tersebut.

"Selagi mana anda menjual barangan kepada pengguna walau apa jenis sekali pun, Seksyen 10 memberi kuasa kepada Menteri KPDN untuk menetapkan peraturan pelabelan dan penandaan harga," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Malahan ujar beliau, ini bukan kali pertama AKHAP diguna pakai untuk sektor kesihatan, sebagai contoh semasa penularan Covid-19, terdapat perintah yang dikeluarkan di bawah AKHAP bagi barang seperti Vaksin Covid-19, pelitup muka serta kit ujian pantas antigen.

"Semasa penularan Covid-19, terdapat perintah yang dikeluarkan di bawah AKHAP bagi barangan seperti vaksin Covid-19 dan dua perintah yang masih berkuatkuasa adalah berkaitan pelitup muka serta kit ujian pantas antigen," jelasnya.

Menurut Armizan, dalam konteks hak universal pengguna tidak ada perbezaan darjat penjual profesional ataupun penjual dalam kalangan peruncit.

"Bila mana perniagaan anda menjual barangan kepada pengguna, tanggungjawab kerajaan adalah untuk memastikan rakyat iaitu pengguna mempunyai hak akses kepada maklumat sekali gus hak untuk membuat pilihan.

"Nasihat saya, apabila tiba masanya, pengguna perlu menggunakan hak mereka, memilih penjual yang menghormati dan mengiktiraf hak asas serta hak universal kepenggunaan," katanya.

Selasa lalu, kira-kira 200 doktor berhimpun di hadapan bangunan Perdana Putra untuk menyerahkan memorandum bantahan penggunaan Akta 723 di dalam pelaksanaan Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU) yang sedang dikuatkuasakan ke atas klinik swasta di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Mereka mendakwa akta tersebut tidak sesuai digunakan dalam persekitaran klinikal selain tiada rundingan dan libat urus dibuat mengenainya.

Bermula 1 Mei lalu, semua fasiliti kesihatan swasta dan farmasi perlu memaparkan harga ubat-ubatan dengan tujuan meningkatkan ketelusan serta membantu pengguna membuat pilihan berdasarkan perbandingan harga.

Sementara itu, Armizan menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meneliti memorandum yang telah dikemukakan seperti diputuskan Kabinet.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!