Jangan beri muka penjenayah hidupan liar

HABIS-habisan perangi jenayah hidupan liar!
Itu laungan yang perlu semua pihak sahut dalam membantu pihak berkuasa membanteras jenayah hidupan liar melibatkan pelbagai spesies yang diancam kepupusan terutama harimau belang atau Harimau Malaya.
Harimau belang atau saintifiknya panthera tigris jacksonii merupakan lambang keberanian, kekuatan dan kebanggaan negara.
Ia boleh dilihat pada Jata Negara, lambang negeri-negeri, kementerian, jabatan, logo pasukan bola sepak kebangsaan, simbol pada kenderaan pertama negara iaitu Proton dan banyak lagi.
Baru-baru ini Sinar Harian melaporkan mengenai sindiket warga asing dari sebuah negara Indochina yang mengeksploitasi harimau belang sebagai sasaran buruan haram. Bukan sahaja daging tetapi misai, kuku, tulang, kulit serta darahnya dijual ke pasaran gelap.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari mendedahkan nilai pasaran gelap bagi seekor harimau belang boleh mencecah RM500,000 bergantung kepada keadaan fizikalnya.
Bayangkan apa akan jadi kepada spesies ini dalam masa 10 tahun akan datang sekiranya ia terus diburu. Bukan sahaja harimau belang tapi pelbagai lagi spesies binatang liar lain seperti tapir serta gajah.
Namun, tindakan menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) melibatkan pelbagai jabatan dan agensi terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dilihat memberi impak hasil tindakan tangkapan serta rampasan.
Malah, beberapa lokasi di tepi lebuh raya juga memaparkan billboard kempen Selamatkan Harimau Malaya sebagai isyarat serius.
Syabas juga kepada kerajaan Malaysia yang terus memperkasakan undang-undang hidupan liar. Berkuat kuasa 1 Februari 2023, sebanyak 44 seksyen bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 (Akta A1646) yang menyaksikan peningkatan penalti bagi jenayah membabitkan hidupan liar, termasuk menyimpan, memburu dan menyeludupnya.
Dengan peningkatan penalti itu, diharap jenayah yang dikategorikan sebagai jenayah terancang berskala besar merentasi sempadan ini dapat dihentikan demi kelangsungan haiwan terancam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
