Beri peluang rakyat pilih kos ubat ikut kemampuan - MAPSU

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan mewajibkan semua klinik dan farmasi komuniti mempamerkan harga mampu meningkatkan ketelusan, melindungi pengguna dan memastikan rakyat mendapat akses kepada ubat-ubatan dengan harga berpatutan.
Presiden Majlis Gabungan Presiden dan Setiausaha Agung, Kesatuan Sekerja Kementerian Kesihatan Malaysia (MAPSU), Ajulahin Japin berkata, langkah proaktif berkenaan bukan hanya mampu melindungi pengguna, malah menaikkan sistem penyampaian dalam sektor kesihatan di seluruh negara.
Menurutnya, ketelusan harga ubat adalah satu keperluan penting dalam memastikan rakyat mendapat maklumat yang jelas, selain membolehkan mereka membuat pilihan rawatan bersesuaian dengan kemampuan masing-masing.
"Dasar ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk membudayakan amalan keterbukaan dan integriti dalam sistem penyampaian kesihatan.
"Langkah berkenaan juga sejajar dengan hasrat kerajaan meningkatkan kualiti hidup rakyat dan memperkukuhkan kepercayaan kepada sistem kesihatan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau mengulas demikian ketika mengulas mengenai dasar baharu kerajaan yang melaksanakan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).
Fasiliti yang terlibat termasuk semua kemudahan jagaan kesihatan swasta di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] serta farmasi komuniti yang menjual, membekal atau memberikan ubat kepada pengguna.
Sementara itu, Ajulahin berkata, MAPSU turut menyokong pendekatan berhemah kerajaan memberi tempoh penyesuaian selama tiga bulan kepada pengamal perubatan dan fasiliti kesihatan swasta sebelum penguatkuasaan dilaksanakan.
"Ini menunjukkan kerajaan mengutamakan pendekatan inklusif, kaloboratif dan tidak bersifat menghukum dalam melaksanakan dasar yang menyentuh kepentingan awam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
