Rakyat gesa doktor swasta patuh keputusan kerajaan

Kos rawatan yang meningkat di fasiliti swasta mendorong rakyat menyokong ketetapan kerajaan mewajibkan paparan harga ubat bermula 2025 demi ketelusan dan hak pengguna.
Kos rawatan yang meningkat di fasiliti swasta mendorong rakyat menyokong ketetapan kerajaan mewajibkan paparan harga ubat bermula 2025 demi ketelusan dan hak pengguna.
A
A
A

SHAH ALAM - Kos perubatan yang semakin tinggi di fasiliti kesihatan swasta menyebabkan rakyat menuntut pengamal perubatan mematuhi keputusan kerajaan dalam menstrukturkan semula kadar bayaran serta mewajibkan paparan harga ubat.

Tinjauan Sinar Harian mendapati ramai dalam kalangan pengguna mendesak doktor swasta menerima ketetapan kerajaan bagi membolehkan mereka membuat perbandingan serta menetapkan bajet sendiri sebelum mendapatkan rawatan.

Suri rumah, Saidatul Nadirah Singah, 32, berkata, langkah tersebut bukan sahaja mewujudkan ketelusan dalam kos rawatan malah dapat mengelakkan pengguna dikenakan bayaran melampau sehingga membebankan kewangan apatah lagi ketika berdepan situasi kecemasan melibatkan ahli keluarga.

“Ada masanya cuma demam biasa tetapi apabila pergi mendapatkan rawatan di klinik swasta, caj boleh mencecah hampir RM100 hanya untuk konsultasi dan ubat demam.

“Saya rasa ubat itu kalau beli di farmasi atau dapatkan di fasiliti kerajaan harganya jauh lebih rendah dan fungsinya serta keberkesannya juga masih sama,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mewajibkan semua jenis ubat yang dijual atau dibekalkan di farmasi komuniti dan fasiliti kesihatan swasta perlu mempunyai penandaan harga bermula 1 Mei 2025.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah tersebut dibuat susulan pelaksanaan Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU).

Sementara itu, pekerja swasta, Siti Nurhikmah Razlan, 27, turut kecewa apabila insurans kesihatan yang dibayar setiap bulan sejak 2019 tidak mampu menampung kos rawatan tinggi di hospital swasta.

Katanya, caruman sebanyak RM200 setiap bulan bagi perlindungan kesihatan selama setahun tidak lagi mencukupi dan seimbang antara caj rawatan dengan had perlindungan insurans sedia ada.

Artikel Berkaitan:

“Bayangkan baru sahaja masuk bulan kelima sudah hampir habis untuk rawatan kesihatan sebab caj rawatan dan konsultasi doktor pakar terlalu tinggi.

“Kalau begini, apa gunanya bayar insurans kesihatan setiap bulan kerana akhirnya terpaksa guna duit poket sendiri. Situasi ini dilihat semakin tidak terkawal dan memberi tekanan berganda kepada pengguna,” ujarnya.

Tambahnya, langkah kerajaan mengimbangi kadar caj perubatan itu merupakan satu usaha untuk mengutamakan kebajikan rakyat di mana kesihatan merupakan elemen penting dalam mengekalkan kesejahteraan negara.

Seorang lagi pekerja swasta, Haziqah Haini Rosli, 28, turut mempersoalkan kadar caj tambahan dikenakan kepadanya ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta sedangkan dia menerima insurans syarikat sebanyak RM80 bagi setiap kali rawatan.

Menurutnya, keadaan itu dilihat tidak masuk akal kerana hanya menerima rawatan biasa akibat demam dan selesema.

“Tiba-tiba kena tambah RM30 dan apabila minta resit cuma tertera perkataan caj tambahan sahaja. Tidak dinyatakan langsung berapa harga ubat atau caj doktor.

“Bukannya tidak mahu bayar cuma saya sebagai pengguna berhak mengetahui bayaran tambahan tersebut digunakan untuk apa. Kalau harga ubat tinggi, sekurangnya diberi penjelasan,” kongsinya.

Justeru, dia menyambut baik usaha kerajaan mewajibkan klinik dan farmasi swasta memaparkan harga ubat secara terbuka agar pesakit dapat membuat penilaian serta mengetahui apa yang dibayar dalam setiap rawatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!