KSSB komited pulihara populasi kelip-kelip

Mohd Hafidz (dua dari kanan) menyempurnakan simbolik perasmian program Home of River di Kampung Asahan Batu 8, Kuala Selangor pada bulan lalu.
Mohd Hafidz (dua dari kanan) menyempurnakan simbolik perasmian program Home of River di Kampung Asahan Batu 8, Kuala Selangor pada bulan lalu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) komited menjadikan Sungai Selangor di Kampung Asahan di sini sebagai sungai angkat bagi pembangunan ekosistem lestari dan pemuliharaan populasi kelip-kelip selain mempromosi kawasan itu sebagai satu daripada pusat pelancongan.

Pengurus Kanan Perhubungan Awam dan Hal Ehwal Korporat KSSB, Abd Wahab Nordin berkata, pada peringkat awal pihaknya akan melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) menerusi projek tanaman pokok berembang.

“Melalui projek ini diharap populasi kelip-kelip dan habitatnya kekal terpelihara sebagai khazanah alam yang sewajarnya dibanggakan malah ia berpotensi besar sebagai sumber ekonomi kepada penduduk.

"Sebanyak 200 pokok berembang ditanam di kawasan tebing sungai kampung itu yang menjadi habitat kelip-kelip,” katanya pada sidang akhbar Program Home of River di Kampung Asahan Batu 8 di sini pada baru-baru ini.

Sebahagian peserta menanam pokok berembang yang menjadi habitat kelip-kelip di tebing sungai di Kampung Asahan Batu 8, Kuala Selangor.
Sebahagian peserta menanam pokok berembang yang menjadi habitat kelip-kelip di tebing sungai di Kampung Asahan Batu 8, Kuala Selangor.

Menurutnya, pada peringkat seterusnya pihaknya merancang membangunkan nurseri bagi projek pembiakan pokok berembang yang dijual dengan harga RM30 sepokok untuk pasaran di luar negeri ini.

Artikel Berkaitan:

“Dengan cara sebegini, secara tidak langsung kita berusaha membantu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menjana pendapatan penduduk setempat,” katanya.

Katanya, KSSB berharap Kampung Asahan menjadi pusat pelancongan kelip-kelip popular seperti di Kampung Kuantan.

“Apa yang akan dilaksanakan KSSB itu selain daripada tanaman pokok, kita juga akan memberi perhatian tentang penjagaan tebing serta kelestarian alam sekitar,” katanya.

Abd Wahab berkata, penduduk Kampung Asahan dan kakitangan KSSB akan menjaga serta memantau semua pokok berembang yang ditanam pada setiap minggu.

“Kita tidak mahu berlaku seperti di Kolam Kampung Hang Tuah apabila hanya 35 pokok yang hidup daripada 100 pokok yang kita tanam. Sudah tentu projek tersebut merugikan dan membazir.

“Harapan kita untuk projek kali ini tidak mahu perkara sama berlaku seterusnya menjadi tarikan pelancong,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Dr Mohd Hafidz Rizal berkata, syarikat bukan kerajaan (GLC), swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengembleng tenaga dalam usaha melestarikan Sungai Selangor.

Katanya, projek CSR yang dilaksanakan KSSB itu tepat dengan hasrat kerajaan untuk melestarikan alam sekitar yang lebih dinamik pada masa depan.

“Saya yakin projek CSR yang dilaksanakan KSSB ini akan berjaya kerana saya difahamkan pihak syarikat akan membantu dari segi dana dan penyelenggaraan,” katanya.

Selain itu katanya, penanaman pokok berembang diharap mengurangkan masalah hakisan tebing sungai berkenaan.

Penduduk Kampung Asahan, Kuala Selangor bersama kakitangan KSSB selepas pelancaran program Home of River pada 22 Februari lalu.
Penduduk Kampung Asahan, Kuala Selangor bersama kakitangan KSSB selepas pelancaran program Home of River pada 22 Februari lalu.

“Pokok berembang mempunyai akar yang kuat dapat memastikan tebing sungai ini tidak mudah terhakis akibat kerja pengorekan pasir dan sebagainya,” katanya.

Menurut Dr Mohd Hafidz, pihaknya juga melihat potensi sungai itu yang bukan sahaja dijadikan pusat pelancongan, malah mampu menjana ekonomi penduduk.

“Saya berharap sungai ini dibangunkan seperti di Sungai Mekong yang mewujudkan pasar atas air bagi menarik kedatangan pengunjung.

“Saya merasakan kawasan Sungai Selangor di Kampung Asahan ini boleh dibangunkan rumah sampan untuk menjual sayur, ikan dan tempat sarapan pagi.

“Dari segi infrastruktur, mesti ada jeti dan tebing yang kuat serta menempatkan jawatankuasa bagi menjaga kawasan tersebut,” katanya.