[VIDEO] Pemandu van tak mengaku langgar lampu merah hingga sebabkan kematian Muhammad Annas

A
A
A

SEREMBAN - Pemandu van yang videonya tular melanggar lampu isyarat merah hingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Jalan Persiaran Senawang 1, Sabtu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Tertuduh, P Mohan, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan yang dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Farha Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu van jenis Toyota Hiace telah memandu kenderaan itu dengan cara berbahaya kepada awam hingga menyebabkan kematian kepada Muhammad Annas Iskandar Mohd Khairi, 21.

Kesalahan itu dilakukan pada 3 Mei 2025, jam lebih kurang 11.59 malam di Jalan Persiaran Senawang 1 di lampu isyarat Matahari Height di Seremban.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama.

Mohan diiring polis ketika hadir ke Mahkamah Majistret pada Rabu. Gambar kecil: Muhammad Annas
Mohan diiring polis ketika hadir ke Mahkamah Majistret pada Rabu. Gambar kecil: Muhammad Annas

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM 20,000 dan tidak lebih RM50,000.

Selain itu, tertuduh boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang dari lima tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal memohon tarikh untuk laporan Puspakom, forensik dan kimia serta menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin selain lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Artikel Berkaitan:

Peguam, Rajindar Singh dalam rayuannya berkata, anak guamnya berniaga menjual barangan sembahyang dengan pendapatan antara RM3,000 hingga RM3,500, manakala isterinya berniaga bunga.

Katanya, tertuduh juga mempunyai dua anak yang masih belajar berusia 21 dan 22 tahun.

"Jaminan yang dicadangkan agak tinggi. Mohon pertimbangan jaminan RM5,000," katanya.

Mahkamah menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin warganegara dan lesen memandu tertuduh digantung serta merta sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes untuk serahan dokumen 3 Julai ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!