Jalan lurus punca pemandu 'sedap' tekan minyak

SEREMBAN - Bukan dua sebaliknya sudah lebih enam nyawa yang melayang akibat kemalangan di Jalan Persiaran Senawang 1, dekat persimpangan lampu isyarat Matahari Height di sini.
Malah peniaga di premis perniagaan di situ mendakwa kemalangan di persimpangan lampu isyarat terbabit sememangnya sudah kerap berlaku.
Keadaan jalan yang lurus dari susur masuk Tol Senawang sehingga ke lokasi dikatakan antara faktor segelintir pemandu sering bertindak memecut laju.
Pemilik bengkel motosikal, Abdul Latif Ahmad, 40, berkata, keadaan jalan lurus dari Tol Senawang sehingga ke Lavender Height, begitu juga di laluan bertentangan menyebabkan pengguna 'seronok' memecut laju.
"Setahu saya dah enam orang yang maut kemalangan disebabkan langgar lampu merah di persimpangan lampu isyarat Matahari Height ini.
"Kalau kemalangan biasa itu memang banyaklah dan bagi pandangan saya keadaan jalan lurus dari Tol Senawang lagi membuatkan orang sedap nak tekan minyak dan nak kejar lampu hijau," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Justeru, dia mencadangkan supaya diletakkan garisan merah supaya pemandu memperlahankan kenderaan selain turut dipasang kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik(AES) di lokasi sebagai amaran.
"Setidak-tidaknya pemandu akan lebih berhati-hati.
"Bagi saya, itu langkah paling terbaik buat masa ini kerana nak tunggu buat flyover itu ambil masa. Mungkin dalam tempoh itu ada lagi yang hilang nyawa," katanya.
Peniaga restoran, Norehan Abdul Majid, 52, turut mendakwa kawasan tersebut agak sibuk terutama pada malam minggu.
"Orang pula nak kejar lampu isyarat, itulah yang bawa laju sampai langgar lampu merah.
"Saya dah berniaga di sini tiga tahun dan dah beberapa kali tengok kemalangan berlaku, tapi bukanlah kemalangan serius," katanya.
Dia turut mencadangkan agar dipasang lampu isyarat digital 'countdown' yang dapat memberi isyarat awal kepada pemandu untuk memperlahankan kenderaan.
Muhammad Irfan Yusrie, 18, turut mempunyai pandangan yang pemasangan lampu isyarat digital adalah langkah paling sesuai buat masa ini.
"Paling pentingnya bagi saya kena cari langkah supaya pemandu ada kesedaran untuk memperlahankan kenderaan apabila hampir tiba di lampu isyarat, bukannya memecut laju.
"Lagi pun kalau kita tengok video tular kejadian pemandu van langgar lampu merah dan rempuh motosikal itu, memang dipandu laju," katanya.
Pada Mac lalu, media melaporkan, tiga remaja menunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah Honda Jazz dipercayai melanggar lampu isyarat merah di lokasi terbabit.
Manakala kejadian terbaharu pada Sabtu lalu di mana seorang lagi remaja yang menunggang motosikal maut dirempuh van.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

