Tragedi langgar lampu merah di lokasi sama berulang, pemuda maut dirempuh van

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Rembau untuk tindakan lanjut, Foto ihsan polis
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Rembau untuk tindakan lanjut, Foto ihsan polis
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah van dipercayai melanggar lampu isyarat merah di Jalan Persiaran Senawang 1 dekat persimpangan lampu isyarat Matahari Height menghala ke Paroi di sini pada Sabtu.

Kejadian jam 12.10 tengah malam itu menyebabkan lelaki berusia 20 tahun itu cedera parah dan meninggal dunia di lokasi.

Difahamkan ia adalah lokasi sama kemalangan maut yang pernah meragut tiga sekawan yang dirempuh sebuah Honda Jazz juga dipercayai melanggar lampu isyarat merah Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila sebuah van jenis Toyota Hiace dipandu lelaki berusia 44 tahun bersama seorang penumpang perempuan berusia 20 tahun sedang bergerak dari arah Senawang menuju ke Bahau.

Keadaan motosikal mangsa yang remuk dirempuh van langgar lampu isyarat merah.
Keadaan motosikal mangsa yang remuk dirempuh van langgar lampu isyarat merah.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu van dipercayai telah gagal berhenti di lampu isyarat warna merah lalu melanggar sebuah motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.

"Akibatnya, seorang penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala telah meninggal dunia di lokasi," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya,mayat penunggang motosikal telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pemandu van tidak cedera dan telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Selain itu beliau berkata, ujian kandungan alkohol terhadap pemandu van terbabit adalah negatif.

"Individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Tiew Chuan Jie di talian 014-9668399 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Orang ramai mengerumuni lokasi selepas kemalangan berlaku
Orang ramai mengerumuni lokasi selepas kemalangan berlaku

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Video papan pemuka sebuah kenderaan yang tular di media sosial memaparkan van terbabit melanggar lampu isyarat merah lalu merempuh motosikal mangsa.

Terdahulu, tular video seorang wanita dipercayai ibu mangsa meraung melihat anaknya tidak bernyawa selepas maut dirempuh sebuah van berkenaan.

Menerusi video yang tular, wanita terbabit yang tiba di lokasi dalam keadaan penuh emosi menjerit 'Ya ALLAH' sambil dipeluk suami yang cuba menenangkannya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!