'Wajahnya sangat tenang seperti sedang tidur’
PASIR GUDANG – “Sebaik kami buka kain kafan... alhamdulillah, arwah kelihatan sangat tenang seperti orang tidur."
Demikian luahan Mohd Rizman Mohd Khuzaimi, 55, adik ipar kepada Allahyarham Rennie Abdul Ghani, 57, yang meninggal dunia selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Rinjani, Lombok, Indonesia, Sabtu lalu.
Menurut Mohd Rizman, jenazah Allahyarham tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kira-kira jam 11 malam tadi sebelum dibawa pulang ke kediamannya menaiki van jenazah.
“Alhamdulillah, urusan membawa jenazah keluar dari kargo di KLIA berjalan lancar, tiada kelewatan.
“Tadi bila jenazah sampai dan dibawa pulang ke rumah kerana isteri Allahyarham sangat ingin melihat wajahnya, kami buka kain kafan dan wajah arwah memang nampak sangat seperti orang tidur.
"Semua lega kerana kami menunggu jenazah sejak Sabtu, sejurus menerima berita Allahyarham terjatuh dan hari ini sudah beberapa hari... tetapi Alhamdulillah jenazah cukup sempurna," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah, Cahaya Masai, di sini, pada Rabu.
Menceritakan peribadi Allahyarham, Mohd Rizman memaklumkan bahawa arwah merupakan seorang abang yang sangat bertanggungjawab, meskipun baru enam tahun kembali bertemu adik-beradiknya selepas terpisah selama lebih lima dekad.
Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Mohamad Akashah, 29, berkata Gunung Rinjani merupakan gunung terakhir yang mahu didaki ayahnya dan beliau telah berniat untuk tidak meneruskan aktiviti pendakian selepas itu.
"Ayah sudah mendaki semua gunung di Malaysia dan tidak mahu mendaki lagi selepas menawan Gunung Rinjani. Ayah sangat teruja untuk ke sana.
"Kami sekeluarga sedih tetapi reda kerana dia pergi dalam keadaan gembira. Gunung Rinjani adalah 'wishlist' terakhir yang ingin didakinya.
"Semua pihak sangat membantu dan melancarkan urusan perjalanan pulang ayah, dari Indonesia hingga ke tanah air. Alhamdulillah, perjalanan terakhir ayah berjalan lancar," ujarnya.
Turut berkongsi rasa, rakan Allahyarham, Afifuddin Mohd Alwi, 34, mengakui masih terkejut dan sukar menerima pemergian sahabat baiknya itu.
“Sudah hampir dua tahun kami mendaki bersama. Banyak gunung dia ikut saya, tapi kali ini saya tak dapat sertai. Arwah memang baik.
"Bila terima berita dia meninggal, saya pun tak tahu macam mana nak beritahu keluarga. Dalam perbualan terakhir kami pun, tak ada tanda-tanda pelik.
"Cuma dia ada tanya saya tentang persediaan ke Gunung Rinjani. Saya hanya pesan, kena buat latihan dan cukupkan rehat. Memang jelas dia teruja nak ke sana sebab itu antara destinasi impian arwah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!