Patut doakan orang sakit, bukan ungkit kisah lalu

SEMALAM, melintas di garis masa media sosial Merak Jalanan, satu hantaran seorang rakan wartawan memaparkan keadaan terkini seorang pemimpin politik Selangor yang kini diuji dengan masalah kesihatan.
Terdahulu, beberapa portal melaporkan bahawa kanser paru-paru yang dihidapi pemimpin ini sudah berada di tahap empat.
Lebih membimbangkan, sel kanser yang menyerang sejak 2022 kini telah merebak ke bahagian otak, sekali gus menjejaskan tahap kesihatannya dengan serius.
Merak Jalanan tidak mengenali beliau secara dekat. Hanya beberapa kali berpeluang membuat penugasan melibatkan tokoh ini, yang suatu ketika dahulu sering digelar ‘nakal’ oleh masyarakat.
Namun, mendengar keadaannya kini, Merak Jalanan turut bersimpati.
Ribuan mendoakan kesihatan dan kekuatan untuk beliau, memohon agar terus sabar dan reda menerima ujian daripada ALLAH SWT.
Pun begitu, seperti biasa, dalam ribuan doa itu terselit juga komen yang jelek dan tidak sensitif.
Di saat manusia sedang terlantar diuji, masih ada yang sibuk mengungkit kisah lama, menghakimi seolah-olah kerja Tuhan sudah diserahkan kepada jari-jemari di ruang komen.
Benar, mungkin beliau pernah melakukan kesalahan. Pernah menyinggung. Atau mungkin — kita hanya ‘mengenali’ beliau melalui laporan berita.
Siapa kita untuk menghukum? Layakkah kita sampai hilang rasa simpati sesama insan?
Manusia berubah. Ada yang pernah tersasar, kini sudah kembali insaf. Ada yang dahulu garang, hari ini mungkin lembut menyebut nama Tuhan.
Sakit sering jadi titik perubahan — atau kifarah. Apa jua, Tuhan punya cara-NYA sendiri untuk mengajar kita tentang erti kehidupan.
Hari ini dia yang diuji. Esok lusa, siapa tahu giliran kita pula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
