Minta hantaran tinggi, bila bercerai aib dibuka

Masa bercinta, lautan api sanggup direnangi. Hantaran tinggi pun sanggup berhutang. Gambar hiasan.
Masa bercinta, lautan api sanggup direnangi. Hantaran tinggi pun sanggup berhutang. Gambar hiasan.
A
A
A

WANG hantaran kahwin dah macam deposit beli rumah! Ini bukan drama tapi realiti.

Seorang lelaki tular di media sosial lepas berkongsi kisah 'pelamin angannya musnah' dan sepakat berpisah secara baik dengan kekasih hati. Puncanya? Hantaran yang diminta mencecah RM50,000.

Walaupun pemuda itu faham permintaan tersebut datang daripada perbincangan keluarga, bagaimanapun jumlahnya terlalu tinggi dan tidak selari dengan prinsip hidup.

Dia percaya perkahwinan sepatutnya dimulakan tanpa tekanan kewangan. Katanya, kalau itu harga yang perlu dibayar, lebih baik undur awal daripada menanggung beban kemudian.

Dalam perkara ini, penulis sokong penuh keputusan 'angkat kaki' dibuat pemuda itu. Jika memang berkemampuan tiada masalah.

Masing-masing baru nak mulakan kehidupan, tak kan nak buat 'loan' untuk hantaran kahwin.

Sebenarnya, sejak 1961, Allahyarham Tan Sri P Ramlee sudah ingatkan bahana kahwin berhutang.

Masih ingat satu babak dalam filem Bujang Lapok, ketika Sudin, Ramli dan Ajis berbincang mengenai hantaran yang tinggi diletakkan oleh emak Eton kepada Sudin, tiba-tiba mereka terdengar jiran sebelah bergaduh suami isteri.

Rupanya si suami masih ada hutang ceti sebab mak mentua dulu minta hantaran RM5,000.

Artikel Berkaitan:

“Ini semua mak bapak kau yang punya salah. Waktu aku mahu kahwin sama kau, mak bapak kau minta sampai RM5,000. Aku tidak ada wang. Aku pinjam sama benggali.

"Sekarang kita sudah ada tiga anak, tapi hutang benggali pun belum habis bayar”, ungkit sang suami.

Lebih 60 tahun dah berlalu, tapi kisah itu masih jadi realiti. Ramai anak muda terjerat dengan hutang, malah ada yang diisytihar muflis.

Laporan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) pada tahun lalu menunjukkan 53,000 individu di bawah usia 30 tahun sudah dibebankan hutang hampir RM1.9 bilion. Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Mac lalu mendedahkan sebanyak 5,272 belia berusia 34 tahun ke bawah telah diisytiharkan muflis sejak 2020 hingga tahun ini.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 5,189 orang merupakan belia berumur 25 hingga 34 tahun dan 83 belia berumur di bawah 25 tahun.

Trend kebankrapan dalam kalangan belia menunjukkan peningkatan, pada 2024 terdapat 877 kes meningkat sebanyak 150 kes berbanding 727 pada tahun sebelumnya.

Berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia, punca utama kes kebankrapan pada 2024 melibatkan pinjaman peribadi yang menyumbang sebanyak 2,776 kes atau 46.4 peratus daripada keseluruhan 5,977 kes kebankrapan iaitu hampir 50 peratus.

Sebelum kahwin, wang hantaran tinggi antara dugaan. Selepas kahwin, lain pula ceritanya bila sudah tidak sehaluan.

Sejak akhir-akhir ini, di media sosial banyak cerita tentang kisah rumah tangga dan kes perceraian yang mengaibkan pasangan dijaja secara terbuka.

Penulis melihat ia bagaikan satu trend yang semakin dinormalisasikan. Media sosial dibanjiri kisah rumah tangga dan perceraian pempengaruh, selebriti, malah orang biasa yang dicanang kepada umum.

TikTok jadi medan ‘live’ untuk cerita hal 'dalam kain'. Tak kurang juga netizen jadi ‘juri profesional’ dalam ruangan komen.

Dalam hal ini, Ahli Jawatankuasa Pusat, Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM), Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin berpesan, apabila suami isteri bercerai, jangan sesekali dedah aib pada umum.

Isu seperti nafkah, kekurangan fizikal atau keintiman adalah peribadi dan subjektif, tak patut dijadikan bahan tontonan umum.

Bercerailah dengan cara baik, saling maafkan, ucap terima kasih atas kebaikan yang pernah ada dan kenang pengorbanan pasangan.

Masa bercinta, lautan api sanggup direnangi. Hantaran tinggi pun sanggup berhutang. Tapi bila jodoh tak panjang, biarlah berakhir dengan bermaruah.

Jangan hanya ingat yang buruk dan isytihar 'perang' dedah aib. Tak ada faedah pun.

*Nurkhairini Jumari ialah Sub Editor Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!