Polis siasat pergelutan pempengaruh dengan isteri baharu bekas suami

AMPANG JAYA - Kertas siasatan berhubung insiden pertengkaran pempengaruh terkenal dengan isteri kepada bekas suaminya di sebuah rumah di Taman Melawati, Isnin lalu sedang dilengkapkan untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kes terbabit masih dalam siasatan pihaknya.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan polis masih sedang melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan selanjutnya," katanya pada Sabtu.
Media sebelum ini melaporkan, pertengkaran berlaku setelah pempengaruh wanita terbabit didakwa melanggar syarat ketika mengambil semula barangan peribadi di rumah bekas suaminya yang juga pempengaruh terkenal.
Bekas suaminya sebelum itu dipercayai membenarkan bekas isterinya itu mengambil barangan miliknya di kediaman tersebut dengan syarat hanya berada di tingkat bawah rumah dan tidak boleh naik di tingkat satu dan tingkat dua.
Bagaimanapun wanita berkenaan telah naik ke tingkat satu, menyebabkan berlaku pertengkaran dan pergelutan antara dia dengan isteri baharu pempengaruh itu yang cuba menghalang tindakannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

